Dua suspek kes ragut, samun diberkas

Ahmad Dzaffir
Ahmad Dzaffir
A
A
A

KAJANG - Polis memberkas dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam 11 kes samun dan ragut di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, tangkapan itu susulan laporan daripada seorang wanita yang mendakwa telefon bimbitnya diragut di tepi Jalan Dataran Cheras 2, Cheras Selatan pada jam 1 petang Selasa lalu.

Beliau berkata, suspek pertama ditahan di sebuah kompleks membeli-belah di Serdang dalam tempoh dua jam selepas berlaku kejadian ragut berkenaan.

"Polis juga menemui semula telefon mangsa. Semakan turut mendapati suspek berusia 26 tahun itu mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah. Kita turut merampas motosikal dan pakaian yang digunakan oleh suspek ketika kejadian," katanya.

Menurutnya susulan itu, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 36 tahun di sebuah rumah di Bandar Tasik Permaisuri, Cheras Jumaat lalu dan merampas 11 telefon bimbit pelbagai jenis disyaki dicuri.

"Kita percaya rumah tersebut menjadi lokasi suspek menjual telefon bimbit lain yang pernah disamun sebelum ini," katanya melalui kenyataan media malam tadi.

Ahmad Dzaffir berkata, suspek kedua mempunyai kepakaran membuka kunci laluan bagi telefon bimbit yang diragut oleh rakannya.

"Kedua-dua suspek kini ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan boleh menghubungi dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Asisten Superitenden Mohd Radzee Jamudi di talian 019-6655811.