X

Kindly register in order to view this article
!

Mulakan dari kawasan kejiranan

Sow Min (lima dari kiri) bergambar bersama pemimpin setiap penganut agama ketika Majlis Muhibbah Perpaduan yang diadakan di Changlun, Kedah pada tahun lalu.
A
A

ALOR SETAR - Usaha memupuk keharmonian dan perpaduan antara kaum di Malaysia perlu bermula dari kawasan kejiranan yang rata-ratanya terdiri daripada tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pekan Changlun, Yeap Sow Min berkata, beliau percaya perpaduan itu boleh disuburkan melalui rasa kasih sayang yang tinggi dalam komuniti setempat.

Sow Min berkata, aktiviti kemasyarakatan adalah salah satu usaha untuk mengeratkan hubungan sesama kaum yang akhirnya melahirkan masyarakat yang harmoni dan bersatu padu.

“Contohnya di KRT Pekan Changlun, kami tidak mengetepikan kaum tertentu dalam sebarang program, sebaliknya semua diadakan secara bersama-sama.

“Apabila mengadakan sukaneka tadika, semua pelajar baik dari tadika Melayu, Cina dan India akan turut serta.

“Begitu juga dengan sambutan perayaan setiap kaum, kami bersama-sama meraikannya untuk merasai kemeriahan perayaan kaum lain,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Tanggungjawab pemimpin

Menurutnya, apabila anggota masyarakat sudah terbiasa berjumpa dan bergaul hubungan yang terjalin semakin erat dan menjadikan mereka seperti sebuah keluarga besar yang saling memerlukan.

“Pergaulan semua kaum menjadi mesra, malah jika bertemu di kedai kopi pun mereka boleh duduk minum sekali tanpa ada sebarang masalah,” katanya.

Aktiviti gotong-royong turut menjadi medium menyemarakkan perpaduan di kawasan kejiranan.
Aktiviti gotong-royong turut menjadi medium menyemarakkan perpaduan di kawasan kejiranan.

Sow Min berkata, nadi penggerak keharmonian dan perpaduan dalam komuniti ini terletak atas bahu pemimpin masyarakat.

“Selaku ketua dalam masyarakat, mereka perlu bijak mengawal situasi dan merancang pelbagai aktiviti yang menyumbang kepada perpaduan kaum.

“Oleh sebab itu, saya mengambil pendekatan menubuhkan organisasi KRT yang dianggotai pelbagai kaum dengan pecahan 10 Melayu, 10 Cina dan lima orang India.“Saya sedar, saya tidak boleh bergerak secara bersendirian tanpa bantuan ahli jawatankuasa ini apatah lagi pekan Changlun mempunyai jumlah penduduk yang ramai.

“Walaupun berbeza bangsa dan agama, tetapi kami tiada masalah untuk berkomunikasi atau membuat keputusan kerana kami mengenepikan perbezaan dan mencari titik persamaan dalam semua perkara,” katanya.

Jelasnya, beliau berharap nilai perpaduan yang berjaya disemai hari ini akan berkekalan selama - lamanya dalam mewujudkan suasana negara yang harmoni dan disegani

“Kita hidup bermasyarakat ini sudah lama sejak nenek moyang lagi, jika tidak dijaga dengan baik perpaduan ini akan goyah dan kebencian pula akan bermaharajalela.

“Saya pasti semua orang mahukan kehidupan yang harmoni dan aman, jadi marilah kita sama-sama terus menjaga perpaduan ini sampai bila-bila,” katanya.