Masih ada yang 'tak sayang nyawa'

Pejalan kaki dikesan sanggup bergadai nyawa menggunakan laluan berkenaan walaupun arus deras.
Pejalan kaki dikesan sanggup bergadai nyawa menggunakan laluan berkenaan walaupun arus deras.
A
A
A

PETALING JAYA - Masih terdapat pejalan kaki sanggup meredah arus deras di laluan pejalan kaki berhampiran longkang besar di Jalan Tandang 204a, di sini sedangkan ia boleh mendatangkan bahaya terutama ketika musim hujan.

Difahamkan, laluan berkenaan yang berada bersebelahan dengan longkang besar itu seringkali dinaiki air jika hujan lebat berterusan.

Menurut seorang kakitangan sebuah kilang di sini, Muhammad Syafiq Hamzah, 30 berkata, apabila laluan berkenaan dinaiki air, terdapat segelintir pejalan kaki masih sanggup meredah arus deras sekali gus mengundang risiko bahaya.

"Saya pernah beberapa kali menegur beberapa individu sebelum ini supaya tidak menggunakan laluan itu ketika dinaiki air kerana arus sangat deras namun mereka masih berdegil dan sanggup merisikokan diri sendiri.

"Bukan sahaja risiko arus deras, malah air yang naik sewaktu hujan lebat di laluan itu juga turut mencecah sehingga paras betis," katanya kepada Sinar Harian.

Keadaan laluan berkenaan yang dinaiki air berisiko kepada pejalan kaki.
Keadaan laluan berkenaan yang dinaiki air berisiko kepada pejalan kaki.

Muhammad Syafiq berkata, laluan pejalan kaki itu dapat menghubungkan orang ramai ke Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Taman Datuk Harun serta jejantas berhampiran Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

Dia berkata, terdapat laluan lain di kawasan itu yang boleh digunakan pejalan kaki namun jaraknya agak jauh.

Artikel Berkaitan:

"Disebabkan itulah mereka masih berdegil untuk menggunakan laluan itu walaupun dinaiki air kerana jalan lain agak jauh," katanya.

Dalam pada itu, seorang penduduk setempat dikenali sebagai Ahmad Ramli berkata, pihak berwajib diharap dapat membantu menyelesaikan permasalahan itu sebelum sebarang perkara tidak diingini berlaku selepas ini.

Katanya, langkah penambahbaikan perlu dilaksanakan segera bagi membolehkan tahap keselamatan pejalan kaki di laluan tersebut terjamin.

"Jika laluan itu ditutup, ia akan mengundang masalah kepada pejalan kaki. Dan disebabkan itulah saya harap agar langkah penambahbaikan dapat dilaksanakan segera," katanya.