X

Kindly register in order to view this article
!

Wang RM8,000 selamat walaupun rumah musnah dijilat api

Keadaan rumah Melati sekeluarga yang musnah dalam kebakaran pada jam 12.30 malam kelmarin.
A
A

KUALA TERENGGANU - Wang simpanan sebanyak RM8,000 milik peniaga nasi dagang tidak terjejas walaupun kediaman yang dihuni sejak 22 tahun lalu musnah dalam kebakaran di Kampung Gong Tok Nasek di sini pada jam 12.30 malam kelmarin.

Mangsa, Melati Yusof, 53, berkata, wang perniagaan yang disimpan di bilik utama rumah itu ditemui oleh anggota bomba yang bertugas dalam kebakaran itu pagi semalam.

"Saya bersyukur sangat. Mungkin wang ini masih menjadi rezeki saya kepada kami sekeluarga.

"Walaupun hanya tinggal sehelai sepinggang, masih ada lagi rezeki yang tinggal hasil perniagaan yang saya usahakan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Keadaan kediaman Melati yang musnah hampir 100 peratus dalam kejadian kebakaran itu.
Keadaan kediaman Melati yang musnah hampir 100 peratus dalam kejadian kebakaran itu.

Menurutnya, ketika kejadian, dia keluar rumah untuk ke kedai makan yang diusahakan kira-kira 800 meter dari kediaman untuk menghantar barang.

"Tak sampai setengah jam saya dan suami (Abdul Razak Mat, 52) berada di kedai makan, anak sulung (Siti Nadia Wahab, 28) telefon beritahu rumah terbakar.

"Saya ingat hanya kebakaran kecil, tak sangka pula sebaik tiba rumah kami sudah musnah dijilat api. Api marak dengan cepat dalam tempoh lima minit sahaja.

"Ketika bomba sampai rumah ini sudah musnah. Tiada apa yang dapat diselamatkan," katanya.

Melati berkata, dia mengalami kerugian kira-kira RM500,000 selepas kediamannya musnah hampir 100 peratus.

Jiran tetangga mengunjungi rumah Melati yang musnah dalam kebakaran malam kelmarin.
Jiran tetangga mengunjungi rumah Melati yang musnah dalam kebakaran malam kelmarin.

Menurutnya, pihak bomba masih menyiasat punca sebenar kebakaran itu.

Namun katanya, ketika kejadian salah seorang anaknya memberitahu api mula merebak dari tilam milik anak lelakinya yang juga penghidap autisme, Muhammad Naim Nasyaruddin, 22.

"Sebelum ini Muhammad Naim Nasyaruddin sering bermain mancis tetapi sejak kebelakangan ini dia sudah jarang bermain mancis.

"Kami juga selalu pantau dia sebab itulah saya tak pasti sama ada kebakaran berpunca daripada api mancis atau sebaliknya," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus