Muzik temukan enam sahabat berlainan bangsa

(Dari kiri) Kar Ming, Sing Hau, Shaddad, Roy, Tasneem dan Ji Yong selesa bersahabat meskipun berbeza latar belakang.
(Dari kiri) Kar Ming, Sing Hau, Shaddad, Roy, Tasneem dan Ji Yong selesa bersahabat meskipun berbeza latar belakang.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Medium penyatuan rakyat Malaysia ternyata boleh datang dalam pelbagai platform.

Siapa sangka melalui muzik, akhirnya enam sekawan yang sama-sama menyambung pengajian di Universiti UCSI kampus Kuala Lumpur pada tahun 2017 akhirnya menjadi sahabat hingga hari ini.

Lebih unik, kesemua mahasiswa Bachelor Muzik Kontemporari itu datang daripada pelbagai latar belakang, berbeza kaum serta agama.

Ada yang berasal dari Selangor, Pahang, Sabah dan Sarawak. Ada Melayu, Cina, India malah Kadazan Dusun namun perbezaan budaya itu bukan penghalang buat mereka bersahabat hingga menubuhkan kumpulan muzik yang diberi nama Ayam Cripsy pada tahun lalu.

Ketika ditanya konsep yang dipilih, mereka akui memilih untuk mengetengahkan muzik etnik digabungkan dengan elemen moden bagi memastikan muzik tradisional di Malaysia terpelihara.

Mereka turut akui meraikan kepelbagaian kaum dan agama sebagai tanda menghormati rakan-rakan yang menyambut perayaan masing-masing.

Tasneem Bolhassan, 24, berasal dari Kuching yang merupakan satu-satunya wanita dalam kumpulan itu berkata, dia selesa bersama-sama rakan-rakannya meskipun berlainan jantina malah pemain alat muzik Sape itu mengakui keakraban mereka sudah seperti adik-beradik.

“Kami kenal sejak tahun 2017 masa mula-mula masuk belajar dan kebetulan ada kumpulan muzik untuk tugasan kelas tapi masa itu belum ada nama Ayam Cripsy.

Artikel Berkaitan:

“Lama kelamaan kami serasi, pun sekarang dah jadi macam adik-beradik. Selain Sape, kami akan explore alat muzik tradisional yang lain pula,” kata penyanyi kumpulan itu.

(Dari kiri) Kar Ming, Roy, Sing Hau, Shaddad, Ji Yong dan Tasneem sering meluangkan masa bersama di Sky Lounge UCSI University di luar waktu kuliah.
(Dari kiri) Kar Ming, Roy, Sing Hau, Shaddad, Ji Yong dan Tasneem sering meluangkan masa bersama di Sky Lounge UCSI University di luar waktu kuliah.

Bagi El Roy, 22, anak Kadazan Dusun dari Kota Marudu, Sabah persahabatannya bersama lima anak muda itu bukan perkara pelik memandangkan sejak di bangku sekolah lagi, dia sudah terbiasa bergaul dengan rakan-rakan yang pelbagai latar belakang.

“Saya tidak kekok langsung sebab dari sekolah lagi dah campur dengan kawan-kawan daripada pelbagai bangsa dan agama. Mungkin juga sebab kami semua belajar di sekolah menengah kebangsaan (SMK) jadi boleh masuk dengan semua orang,” katanya yang merupakan pemain dram dan penyanyi.

Belajar bahasa

Pemain piano, Sum Ji Yong, 22, yang berasal dari Selangor berkata, kebersamaan mereka memberi ruang untuk dirinya dan rakan-rakan belajar pelbagai bahasa.

“Selain Mandarin dan bahasa Inggeris, kami guna bahasa Melayu dan Tamil. Kawan kami ada Melayu, India, Cina dan Kadazan jadi dalam satu ayat perbualan pun kami boleh campur-campur bahasa secara tak langsung semua orang dapat peluang belajar,” katanya.

Pemain gitar, Ting Sing Hau, 23, dari Sarawak pula melihat isu perpaduan yang dibangkitkan kerana tidak memahami dan mengenali antara satu sama lain.

“Di internet sekarang banyak sangat perkara negatif yang mampu cetuskan kemarahan sesetengah pihak. Jika kita terima kepelbagaian dan perbezaan itu, tidak ada masalah sebab perbezaan itu yang membuatkan Malaysia ini unik.

“Pendidikan pun main peranan. Kalau kita sendiri yang dewasa tunjuk contoh tidak baik kepada mereka yang muda, sudah tentu mereka akan ikut dan ia akhirnya akan berterusan sampai bila-bila,” katanya.

Ayam Cripsy sempat rakam gambar kenangan selepas membuat persembahan pada program bual bicara RTM tahun lalu.
Ayam Cripsy sempat rakam gambar kenangan selepas membuat persembahan pada program bual bicara RTM tahun lalu.

Lau Kar Ming, 25, berasal dari Pahang turut senada dan melihat kebencian yang tersebar di media sosial kerana kurangnya pergaulan yang pelbagai kaum dan agama hingga wujudnya persepsi negatif.

“Sepatutnya kita perlu ada lebih banyak ruang untuk faham orang lain supaya kita kenal,” katanya yang merupakan pemain gitar bass.

Shaddad Philippose, 23, dari Rawang, Selangor pula berkata, masih ramai mahasiswa hari ini selesa bergaul dengan rakan-rakan sebangsa atau senegara berbanding bergaul dengan lebih meluas.

“Mungkin mereka lebih selesa dengan rakan sebangsa, seagama atau senegara. Mungkin juga sebab faktor bahasa. Kalau kaum India macam saya mungkin mereka pilih untuk berkawan dengan kawan-kawan kaum India juga.

“Begitu juga Melayu, Cina atau mahasiswa antarabangsa. Budaya itu kita masih nampak di mana-mana,” katanya.