Rahsia membaca mengikut PM

A
A
A

TIDAK ada agama atau kepercayaan yang memberi keutamaan kepada membaca lebih daripada Islam. Justeru, kalau kita benar-benar mengamalkan perintah tersebut, kita sudah lama menjadi manusia dan negara yang berpengetahuan tinggi.

Kita sering diingatkan tentang ayat satu hingga lima surah al-Alaq menyeru manusia supaya membaca.

Malangnya, kajian akademik dan pemerhatian rambang tidak membuktikan hal itu. Sebaliknya tabiat dan kegemaran membaca semakin menurun.

Malah, ada pakar mengatakan Malaysia adalah antara negara yang rakyatnya paling kurang membaca. Keadaan ini menjadi bertambah buruk berikutan ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Ini amatlah merugikan kerana ledakan ICT sepatutnya memudahkan kebolehcapaian kepada maklumat dan ilmu.

Sebagai penulis yang turut terlibat dengan penerbitan, saya bimbang hal ini bukan andaian lagi tetapi adalah kenyataan. Bilangan yang membaca akhbar, majalah dan buku semakin kecil.

Benarlah seperti kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika melancarkan Dekad Membaca Kebangsaan di Universiti Kebangsaan Malaysia pada Khamis lalu bahawa pengaruh teknologi digital terhadap masyarakat begitu besar sehingga sumber bacaan tradisional seperti surat khabar dan buku semakin diketepikan.

Katanya, banyak syarikat akhbar gulung tikar kerana jualan yang merosot manakala buku tinggal mengumpul debu di perpustakaan atau di atas rak.

Artikel Berkaitan:

Namun demikian, Dr Mahathir yakin ini tidak bermakna rakyat Malaysia berhenti membaca. Yang berubah ialah kaedah penyampaian bahan bacaan di mana hampir semua akhbar mempunyai versi digital dan buku juga diterbitkan dalam format itu.

Setiap kali saya ditanya mengenai penulisan khususnya bagaimana menjadi wartawan, penulis dan pengucap yang baik, saya kata dengan banyak membaca.

Hakikatnya adalah mustahil seseorang itu boleh berfikir, menulis dan berucap dengan baik kalau dia tidak membaca. Membaca, berfikir dan menulis adalah kegiatan tiga serangkai.

Dalam kaitan itu, pandangan Dr Mahathir mengenai membaca daripada sudut sains adalah amat berguna kerana beliau bukan sahaja seorang doktor perubatan tetapi juga seorang pemikir dan penulis yang diiktiraf dunia.

Katanya, amalan membaca menjadi salah satu kaedah senaman dan latihan minda yang berkesan. Ia membantu memperkuat rangkaian otak dan merangsang pertumbuhan rangkaian saraf baru.

Jika seseorang itu membaca sesuatu berulang kali, apa yang dibacanya itu akan lebih melekat di ingatan. Dengan itu dia tidak mudah lupa.

Membaca dengan banyak juga boleh mempertingkatkan kecerdasan emosi (emotional intelligence atau EQ) dan kecerdasan intelektual (intelligence Quotient atau IQ) seseorang.

Kedua-dua unsur kecerdasan itu, kata Dr Mahathir, amat penting bagi membolehkan seseorang menangani pelbagai keadaan dan merebut peluang pembangunan diri.

Jadi marilah kita membaca supaya menjadi lebih bermaklumat, cerdas minda dan kuat tubuh badan. Tidak salah kita menggunakan komunikasi digital, termasuk platform media sosial, untuk membaca, menimba ilmu dan berkongsi maklumat benar dan berguna.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara