Kadar jangka pendek kekal kukuh minggu depan

A
A

KADAR jangka pendek dijangka kekal kukuh minggu depan berikutan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menyerap lebihan kecairan dalam pasaran tunai.

Bagi minggu yang baru berakhir, kadar rujukan Islam semalaman kekal pada paras minggu lepas iaitu 3.19 peratus menakala kadar satu, dua dan tiga minggu kekal masing-masing pada 3.26 peratus, 3.30 peratus dan 3.35 peratus.

Sementara itu, asas tiga bulan Klibor kekal pada 3.69 peratus.

Sepanjang minggu ini, bank pusat menjalankan operasi pada asas harian bagi menyerap lebihan dana daripada sistem kewangan dengan melaksanakan tender, termasuk tender pasaran wang konvensional, tender Qard, lelongan matang pelbagai, Bil Antara Bank Bank Negara, Program Komoditi Murabahah, lelongan matang pelbagai Islam dan tender repo berbalik.

Asas Jumaat ke Jumaat, jumlah lebihan kecairan dalam sistem konvensional untuk minggu ini meningkat kepada RM21.28 bilion daripada RM15.19 bilion, sementara dalam sistem Islam ia susut kepada RM14.55 bilion daripada RM19.30 bilion.- Bernama