X

Kindly register in order to view this article
!

Polis terima tiga laporan insiden provokasi di Batu Caves

Laporan Sinar Harian berhubung tindakan sekumpulan lelaki yang dipercayai melakukan provokasi ketika penguat kuasa imigresen melaksanakan tugas di Batu Caves.
A
A

GOMBAK - Polis menerima tiga laporan berhubung insiden sekumpulan lelaki yang dipercayai melakukan provokasi ketika penguat kuasa imigresen melaksanakan tugas di Batu Caves semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, dua laporan polis dibuat oleh Jabatan Imigresen Malaysia pada jam 2 petang dan 2.15 petang.

"Kita turut menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 35 tahun merupakan peniaga di kawasan itu pada jam 2.30 petang.

"Lelaki itu menafikan dia menghalang penjawat awam semasa kejadian tersebut. Kita telah mengambil keterangan ketiga-tiga individu itu bagi membantu siasatan," katanya melalui kenyataan media malam ini.

Terdahulu, tular di laman sosial sekumpulan individu mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota penguat kuasa imigresen yang sedang bertugas dalam operasi di kawasan tapak perniagaan haram dipercayai dikendalikan oleh peniaga dari India dan Pakistan.

Difahamkan Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) Imigresen terpaksa membawa keluar anggota penguat kuasa bagi menggelakkan keadaan menjadi lebih buruk.

ARTIKEL BERKAITAN: Provokasi di Batu Caves: Imigresen berundur ada sebab

Arifai berkata, Penolong Penguasa Jabatan Imigresen Selangor memaklumkan seramai 80 anggota dan pegawai imigresen menjalankan operasi bersepadu di gerai di Batu Caves pada jam 10.30 malam hari kejadian.

"Pegawai berusia 29 tahun itu menyatakan terdapat ramai warga asing bekerja di beberapa buah gerai di kawasan itu tanpa pemilik yang sah," katanya.

Beliau berkata, pegawai itu turut mendakwa seorang lelaki berusia 40-an bersama sekumpulan lelaki telah mencetuskan provokasi terhadap anggota penguat kuasa ketika mereka cuba menahan peniaga warga asing.

"Kumpulan itu melakukan provokasi secara lisan dan fizikal sehingga menimbulkan kekecohan, mereka menghalang tugas penguat kuasa menyebabkan operasi itu gagal," katanya.

Katanya, ketua operasi telah mengarahkan kesemua anggota untuk berundur dari pekarangan kuil tersebut bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Kes disiasat mengikut Seksyen186/506 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta melakukan ugutan jenayah.

ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin beri amaran


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus