X

Kindly register in order to view this article
!

Henti desak Dr Mahathir berundur: Anwar

Anwar - FOTO ZAHID IZZANI
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap tiada lagi desakan terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar melepaskan jawatan dengan segera.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, ini kerana sudah ada kesefahaman dalam isu peralihan kuasa pucuk pimpinan negara oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

"Saya harap tidaklah (ada desakan) dan saya tidak boleh (halang sekiranya ada desakan). Biar dua-dua pihaklah, ada setuju, ada tidak setuju, yang penting PH itu mesti pegang pada keputusan dan perjanjian.

"Kita ada persefahaman dan ini akan dimuktamadkan dalam mesyuarat pada 21 Februari ini. Jadi kita selesai dengan baik. Proses transisi ini untuk kebaikan negara harus secara aman dan teratur," katanya malam ini.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Malam Anugerah Gabungan Jawatankuasa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam (ACCIN) di Masjid Saidina Umar al-Khattab, Bukit Damansara di sini.

Pada majlis itu, Anwar turut melancarkan logo baharu ACCIN, selain menyampaikan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat kepada bekas pengerusi gabungan itu, Datuk Mustapha Ma.

Anwar menerima cenderahati daripada Ir Mohd Jamaludin (kiri) pada Majlis Malam Anugerah Gabungan NGO Islam ACCIN di Masjid Saidina Umar al-Khattab, Bukit Damansara. - FOTO ZAHID IZZANI
Anwar menerima cenderahati daripada Ir Mohd Jamaludin (kiri) pada Majlis Malam Anugerah Gabungan NGO Islam ACCIN di Masjid Saidina Umar al-Khattab, Bukit Damansara. - FOTO ZAHID IZZANI

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif ACCIN, Ir Mohd Jamaludin Mohamed Shamsudin; Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan pendakwah bebas, Dr Zakir Naik.

Semalam, Dr Mahathir menegaskan dirinya tidak terbabit dengan sebarang gerakan atau dalam kumpulan tertentu yang mahukan beliau kekal sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal.

Sebaliknya beliau mengulangi kenyataan berpegang kepada janji untuk melepaskan jawatan kepada penggantinya selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) November depan.

ARTIKEL BERKAITAN: Saya tidak terlibat dengan akuan sumpah, kata Tun M

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar memaklumkan beberapa Ahli Parlimen PKR yang dilaporkan menandatangani Akuan Bersumpah (SD) menyokong Dr Mahathir memegang jawatan Perdana Menteri hingga habis penggal sudah menafikan dakwaan berkenaan.

“Ada segelintir kecil, saya tak tahu tetapi semua nafi, jadi tak apalah. Kalau ada Ahli Parlimen PKR yang tandatangan SD, mereka perlu jawab kepada kepimpinan parti dan PH.

"Soalnya pendirian parti dan pendirian PH sokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-7 dan sokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-8. Itu pendirian parti dan PH,” katanya.