Muhyiddin beri amaran

Laporan Sinar Harian berhubung tindakan sekumpulan lelaki yang dipercayai melakukan provokasi ketika penguat kuasa Imigresen melaksanakan tugas di Batu Caves, malam tadi,
Laporan Sinar Harian berhubung tindakan sekumpulan lelaki yang dipercayai melakukan provokasi ketika penguat kuasa Imigresen melaksanakan tugas di Batu Caves, malam tadi,
A
A
A

IPOH - Kementerian Dalam Negeri memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak yang cuba menghalang dan mengganggu tugas pihak berkuasa.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan sekumpulan individu yang menghalang dan menyekat 50 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia di Batu Caves, malam tadi adalah kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Beliau berkata, kehadiran pegawai Imigresen di situ bagi membuat pemeriksaan di kawasan tersebut selepas mendapat aduan bahawa terdapat warganegara India yang menjalankan perniagaan di situ.

"Difahamkan berlaku sedikit ketegangan ketika menguatkuasakan undang-undang. Jadi, disebabkan itu nasib baik pegawai kita bersikap bijaksana tidak mengambil tindakan yang boleh menimbulkan masalah-masalah lain sedangkan pihak terlibat itu bertindak luar batas.

"Kita dapat maklumat terdapat ramai warganegara India dengan sokongan warga tempatan yang datang dengan pas sosial tetapi berniaga, jadi tindakan itu tak dibolehkan oleh undang-undang.

"Sebab itu mereka nak ambil tindakan berpatutan dari sudut undang-undang tapi dihalang," katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Ulang Tahun Rela ke-48 Peringkat Kebangsaan Tahun 2020 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Jamil Rakon; Pemangku Ketua Pengarah Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Kamarudin Rapig dan Setiausaha Kerajaan Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Muhyiddin berkata, laporan polis telah dibuat berhubung kejadian tersebut untuk siasatan selanjutnya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Provokasi di Batu Caves: Imigresen berundur ada sebab

Katanya, pemantauan di kawasan tersebut akan terus dilakukan dan tindakan lanjut akan diambil berhubung kesalahan yang berlaku.

Dalam pada itu, beliau menegaskan tindakan melindungi warga asing oleh penduduk tempatan tidak sepatutnya berlaku kerana boleh mengancam keselamatan negara.

"Saya nak bagi amaran tegas, perlakuan begini membawa kesan buruk kepada negara. Aspek keselamatan sudah pasti tapi juga mengganggu keselamatan peniaga tempatan yang sah menjalankan perniagaan mereka.

"Ini adalah satu perkara yang seboleh mungkin kita nak elak daripada berlaku," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Imigresen memandang serius tindakan sekumpulan lelaki yang dipercayai melakukan provokasi ketika penguat kuasa jabatan itu melaksanakan tugas di Batu Caves, malam tadi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya menganggap tindakan sekumpulan lelaki itu menghalang tugas penjawat awam.