Pelumba 'drag battle' maut, kereta hilang kawalan di litar perlumbaan

SANDAKAN - Seorang peserta 'drag battle' maut dalam kemalangan ketika acara perlumbaan berlangsung di Litar Sandakan Turf Club Batu 5, di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian jam 4.44 petang, mangsa warga Brunei, Abang Adib Abang Ali, 36, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent (HDOK) di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintenden K Ramasamy berkata, siasatan awal mendapati, kenderaan jenis Honda yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke kiri litar perlumbaan ketika melepasi garisan penamat.
"Mangsa tersepit dalam kenderaan yang dipandunya dan berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba. Mangsa yang mengalami kecederaan parah dihantar ke hospital untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia pada jam 5.25 petang," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Katanya lagi, mayat mangsa kini berada di unit forensik hospital sementara menunggu bedah siasat yang akan dijalankan pada Ahad.
"Kes disiasat dan diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut," katanya.
Pejalan kaki maut dirempuh di Jalan Coastal
Sementara itu, dalam kes berasingan di Kota Kinabalu, seorang pejalan kaki berusia 30-an maut selepas dirempuh sebuah kenderaan dalam kejadian di Jalan Coastal berhampiran Sutera Avenue, di sini pada awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.38 pagi, melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Axia dipercayai melanggar seorang pejalan kaki yang melintas jalan.
"Hasil siasatan awal mendapati kenderaan yang dipandu seorang lelaki berusia 30-an datang dari arah jalan Centre Point menuju ke Tanjung Aru.

"Ketika berada di lorong kanan secara tiba-tiba seorang pejalan kaki berusia lingkungan 30-an melintas jalan menyebabkan kemalangan tersebut berlaku
"Akibat kejadian itu, pejalan kaki mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan," katanya.
Kasim berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan disebabkan kecuaian pejalan kaki itu sendiri ketika melintas jalan.
"Tidak jauh dari lokasi terdapat jejantas untuk pejalan kaki namun tidak digunakan oleh mangsa.
"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!