KPM perkenal portal MyUPU elak pertindihan tawaran

Nie Ching (tiga dari kanan) merasmikan Program Jom Masuk IPT 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor hari ini. - Foto Bernama
Nie Ching (tiga dari kanan) merasmikan Program Jom Masuk IPT 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) memperkenalkan MyUPU, portal bersepadu baharu untuk permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) dan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian ke peringkat asasi, diploma serta sijil mulai sesi akademik 2020/2021.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, portal tunggal tersebut bertujuan membolehkan lebih ramai lepasan SPM berpeluang melanjutkan pelajaran di samping mengelakkan berlakunya pertindihan tawaran.

"Tahun ini kami gabungkan, hanya gunakan 'single window' untuk semua penempatan ke IPT kerana tujuan kami adalah untuk mengelakkan berlakunya tawaran bertindih.

"Kami mahu mengelakkan seorang pelajar mendapat dua tiga tawaran seperti tahun-tahun sebelumnya. Tahun lepas terdapat 10,000 tempat dari keseluruhan institusi pengajian tidak diisi, jadi menerusi MyUPU diharapkan ia dapat memaksimumkan kapasiti yang ada," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jom Masuk IPT 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.

Turut hadir pada program disertai 100 pempamer merangkumi universiti awam dan swasta itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia Johor, Aminolhuda Hasan dan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar.

Nie Ching berkata, terdapat 135,000 kapasiti atau peluang untuk melanjutkan pelajaran di semua IPT dan ILKA tahun ini dengan diharapkan kesemua kapasiti itu mampu diisi.

Sementara itu, berhubung program Jom Masuk IPT yang bermula hari ini sehingga 29 Mac depan, beliau berkata, seramai 230,000 pengunjung disasarkan KPM di lapan lokasi yang dianjurkan di seluruh negara termasuk 20,000 pengunjung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.

Menurut Nie Ching, selepas Johor, program tersebut akan dianjurkan di Pahang, Kedah, Sabah, Perak, Terengganu, Sarawak serta Selangor.

Artikel Berkaitan:

“Program ini bertujuan untuk mempromosi dan menyebarkan maklumat mengenai peluang pendidikan tinggi yang ditawarkan IPT, Institut Pendidikan Guru (IPG), Kolej Matrikulasi, Politeknik dan Kolej Komuniti serta ILKA,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran program tersebut juga seiring dengan pembukaan permohonan kemasukan ke IPT awam mulai 24 Februari sehingga 31 Mac ini bagi lepasan SPM dan 24 Februari sehingga 7 April bagi lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf. - Bernama