X

Kindly register in order to view this article
!

Dua lagi kes positif Covid-19

Dr Dzulkefly (dua dari kiri) melakukan simbolik penyerahan 'hand sanitizer' kepada Guru Besar SK Desa Aman Shahidan Said (dua dari kanan) selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PIBG SK Desa Aman Kali Ke-9 di Sungai Buloh hari ini. Foto: Bernama
A
A

KUALA SELANGOR - [DIKEMASKINI] Dua lagi kes positif virus Covid-19 disahkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini sebanyak 21 kes.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, dua kes terbaru itu melibatkan seorang lelaki dan wanita warga China.

"Kes ke-20 ialah seorang ahli perniagaan lelaki berusia 27 tahun dari Guangzhou yang dikesan bergejala ketika melalui saringan kesihatan di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di Bukit Kayu Hitam, Kedah, katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Desa Aman Desa Coalfield, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Dr Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor menyerahkan kira-kira 5,000 botol cecair pencuci tangan sumbangan Elite Advanced Materials Sdn Bhd kepada 35 sekolah seluruh daerah itu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata, lelaki warganegara China itu tiba di Malaysia pada 1 Februari bagi urusan perniagaan beliau.

"Beliau telah ke Thailand pada 12 Februari dan kembali ke Malaysia pada 13 Februari sebelum dikesan mempunyai demam oleh pengimbas haba semasa melalui Pintu Masuk Darat Antarabangsa Malaysia-Thailand itu.

"Beliau seterusnya telah dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada hari yang sama. Ujian saringan pengesanan Covid-19 telah dijalankan dan telah disahkan positif pada 14 Februari," katanya.

Sementara itu, kes ke-21 pula adalah seorang wanita warganegara China berusia 32 tahun yang berkahwin dengan warganegara Malaysia dan menetap di Malaysia.

Dr Noor Hisham berkata, wanita itu mempunyai sejarah perjalanan ke China pada 22 hingga 30 Januari lepas untuk melawat keluarganya sebelum mengalami gejala sakit tekak dan dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan lanjut pada 13 Februari.

"Ujian saringan pengesanan Covid-19 dijalankan dan disahkan positif pada 14 Februari. Kes dimasukkan ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk rawatan dan pemantauan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata, jumlah kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan di negara setakat ini adalah sebanyak 21 kes, meliputi 11 kes dalam kalangan kes pesakit dalam siasatan (PUI), lapan kes dalam kalangan kontak rapat dan dua kes dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang melalui Misi Bantuan Kemanusiaan.

Daripada jumlah itu, 15 kes adalah warganegara China dan enam kes adalah warganegara Malaysia.

Sehingga semalam, tujuh individu yang dijangkiti Covid-19 di negara ini telah sembuh dan dibenarkan pulang.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 282 kontak rapat kepada kes-kes positif Covid-19 telah dikenal pasti dan jumlah itu dijangka bertambah sehingga pengesanan kontak rapat ini selesai.

Daripada jumlah itu, sebanyak 197 kontak rapat terdiri daripada warganegara Malaysia, 54 warganegara China dan 31 lagi lain-lain warganegara.

“Kesemua kontak rapat yang telah dikesan diambil sampel dan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian,” katanya.

Jelasnya, Kementerian Kesihatan akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui maklumat yang diperoleh daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.- Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!