X

Kindly register in order to view this article
!

Suruhanjaya bebas tangani isu antara kaum: Waytha Moorthy

Waytha (dua dari kiri) menyampaikan penghargaan kepada salah seorang pemimpin komuniti di Dewan Persatuan Buddhist Terengganu di sini hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy mengesahkan pihaknya kini dalam usaha untuk menubuhkan sebuah suruhanjaya bebas bagi menangani isu-isu antara kaum dan agama di negara ini yang boleh diselesaikan melalui rundingan.

Beliau berkata, usaha bagi penubuhan Suruhanjaya Harmoni dan Perdamaian itu kini sedang digerakkan melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

Menurutnya, beliau berharap rang undang-undang terhadap cadangan itu dapat dibentangkan di Parlimen pada tahun ini.

"Buat masa ini, kita sedang mengambil contoh negara-negara yang mempunyai Akta Keharmonian ini dan baru-baru ini saya telah mengadakan lawatan ke United Kingdom, tahun lalu saya telah melawat Australia untuk melihat model yang telah diamalkan di negara mereka.

"Setelah melihat model-model ini, jabatan sedang merangka akta ini dan kita lihat ada keperluan untuk penubuhan suruhanjaya keharmonian, di mana pada pendapat saya bukan semua isu perlu melibatkan tindakan polis.

"Ada sesetengah isu boleh diatasi dengan perdamaian dilakukan. Jadi, suruhanjaya ini akan bertindak dan akan mempunyai kuasa untuk mengadakan perdamaian sama ada dengan pihak-pihak yang bertelagah atau yang menyatakan sesuatu yang mungkin telah mengguris hati masyarakat lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan media tentang ura-ura penubuhan suruhanjaya itu.

Waytha bersama komuniti dan rakan perpaduan Terengganu pada Majlis Ramah Mesra di Dewan Persatuan Buddhist Terengganu di sini hari ini.
Waytha bersama komuniti dan rakan perpaduan Terengganu pada Majlis Ramah Mesra di Dewan Persatuan Buddhist Terengganu di sini hari ini.

Sebelum itu, beliau menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama pemimpin komuniti dan rakan perpaduan Terengganu di Dewan Persatuan Buddhist Terengganu, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Waytha berkata, penubuhan suruhanjaya itu masih dalam proses pembentukan dan sebelum dilaksanakan, pihaknya akan mengadakan sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan seperti badan bukan kerajaan (NGO), ketua masyarakat dan seumpamanya untuk mendapatkan pandangan mereka.

"Keanggotaan suruhanjaya ini nanti adalah daripada kalangan mereka yang mempunyai pengalaman dalam menangani isu-isu antara kaum atau yang terlibat dengan perkhidmatan kepada masyarakat.

"Ia akan terdiri daripada mereka yang bebas. Jadi, kita memberi peluang kepada pihak-pihak ini untuk berdamai dan sekiranya apa yang dinyatakan itu terlalu ekstrem, maka ia terpulang kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Jelasnya, sebelum ini JPNIN tiada kuasa bagi menangani isu-isu sebegini, sebaliknya hanya berfungsi untuk mengeratkan lagi hubungan antara masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Sekarang ini, kalau lihat daripada segi penguatkuasaan undang-undang, ia terpulang kepada pihak polis atau Kementerian Dalam Negeri sekiranya berlaku perbuatan atau tingkah laku yang ekstrem.

"Tapi, ada sesetengah perkara sebenarnya yang boleh diselesaikan, itu yang akan ditangani suruhanjaya bebas ini. Antara kuasa suruhanjaya ini adalah memanggil pihak-pihak yang terlibat.

"Contohnya jika ada individu meletakkan sesuatu di media sosial umpamanya, yang boleh mengguris hati masyarakat lain, maka suruhanjaya ini boleh memanggil individu berkenaan untuk mendengar penjelasan dan mungkin boleh menasihati mereka," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus