Kelantan United sasar Liga Super musim depan

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob (enam kanan barisan tengah) bergambar bersama pemain pasukan Kelantan United FC sempena majlis Pelancaran Liga Elit Dun (Dewan Undangan Negeri), Memperkenalkan pemain dan Jersi KUFC 2020 di Stadium Sultan Muhammad lV semalam. Turut hadir Presiden Kelantan United (KUFC) Datuk Che Abdullah Mat Nawi (lima kanan barisan tengah) dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat (lima kiri barisan tengah) -- Foto Bernama

A
A
A

PENDATANG baharu Liga Premier 2020, Kelantan United (KUFC) sudah meletakkan sasaran tinggi untuk melayakkan diri ke saingan Liga Super pada 2021 sejak penubuhan kelab itu dua tahun lalu, kata presidennya, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Beliau berkata, walaupun cabaran itu tidak mudah namun akan berpuas hati dengan kedudukan lima pasukan terbaik dalam kempen sulung Liga Premier musim ini.

KUFC akan membuka tirai liga dengan menentang Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak, 1 Mac ini.

Pasukan itu melayakkan diri ke Liga Premier bersama satu lagi wakil dari Kelantan iaitu The Red Warriors (TRW) selepas KUFC muncul juara pada saingan Liga M3 musim lepas.

"Musim lalu kami telah mencapai sasaran untuk melayakkan diri ke saingan Liga Premier dan tahun ini kami sasar untuk beraksi pada saingan Liga Super musim depan.

"Kami satu pasukan baharu yang sederhana namun mempunyai semangat yang tinggi untuk membawa harapan peminat bola sepak negeri Kelantan dan nama negeri ini di pentas bola sepak negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Pelancaran Liga Elit DUN (Dewan Undangan Negeri) serta memperkenalkan pemain dan Jersi KUFC 2020 di Stadium Sultan Muhammad lV, di sini, malam tadi.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Artikel Berkaitan:

Che Abdullah berkata, pihak pengurusan yakin dengan kemampuan ketua jurulatih Zahasmi Ismail untuk membentuk pasukan yang lebih mantap bagi mencapai sasaran ke Liga Super musim depan.

KUFC akan menggunakan tiga warna jersi rasmi untuk menghadapi saingan Liga Premier musim ini iaitu merah sebagai jersi di tempat sendiri, hitam di gelanggang lawan dan putih jersi ketiga.-Bernama