X

Kindly register in order to view this article
!

Bursa Malaysia diniagakan rendah minggu depan impak Covid-19

A
A

FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka diniagakan dalam jajaran di antara paras 1,530 dan 1,551 minggu depan dalam kecenderungan merosot kerana pelaporan berita negatif ketika ini.

Seorang penganalisis berkata, ia akan menjadi sukar bagi FBM KLCI untuk keluar daripada corak tidak berubah sedia ada dan aliran menaik mungkin akan berlaku jika indeks berjaya mencapai paras psikologi 1,600.

"Selain kebimbangan terhadap jangkitan Covid-19, sentimen belian di pasaran tempatan juga terkesan dengan pengumuman prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang rendah tidak seperti dijangkakan, ia menunjukkan ekonomi berkembang sebanyak 4.3 peratus pada 2019 daripada 4.7 peratus pada tahun 2018," katanya kepada Bernama.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus juga memberi bayangan bahawa ada kemungkinan BNM akan menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) dan menyatakan terdapat ruang yang cukup untuk menyelaraskan OPR bagi menampung cabaran ekonomi.

Bulan lepas, BNM mengurangkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus, paras terendah dalam tempoh sembilan tahun selepas mengurangkannya kepada tiga peratus daripada 3.25 peratus pada Mei tahun lepas.

Bagaimanapun, penganalisis tersebut berkata kerugian mungkin dihadkan kerana pelabur akan mendapat pelepasan dalam pakej rangsangan ekonomi akan datang yang dilaksanakan kerajaan, ia dijangka mengandungi pakej bantuan khusus untuk industri pelancongan berkaitan seperti penerbangan, hotel dan percutian, pengembaraan dan juga industri runcit untuk mengurangkan kesan Covid-19.

Pada 11 Februari lepas, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan masih mengumpul input daripada pemain industri untuk pakej rangsangan yang akan diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 27 Februari depan.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI jatuh 10.03 mata kepada 1,554.46 daripada 1,554.49 sebelumnya.

Di papan skor, Indeks FBM Emas melonjak 5.91 mata kepada 11,066.08 manakala Indeks FBMT 100 berkurangan 7.72 mata kepada 10,853.00

Indeks FBM ACE bertambah 98.03 mata kepada 5,619.81, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 132.82 mata kepada 11,899.03 dan FBM 70 bertambah 246.34 mata kepada 14,071.02.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 408.20 mata kepada 14,572.96, Indeks Perladangan naik 27.20 mata kepada 7,335.11 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.33 mata kepada 146.71.

Jumlah dagangan mingguan jatuh kepada 13.40 bilion unit bernilai RM11.51 bilion daripada 15.89 bilion unit bernilai RM12.74 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 8.33 bilion saham bernilai RM10.17 bilion daripada RM9.75 bilion saham bernilai RM11.30 bilion.

Jumlah dagangan waran jatuh kepada 1.90 bilion unit bernilai RM287.80 juta daripada 2.30 bilion unit bernilai RM367.05 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 3.16 bilion saham bernilai RM1.04 bilion daripada 3.83 bilion saham bernilai RM1.06 bilion daripada 2.56 juta saham bernilai RM804.78 juta pada minggu sebelumnya.-Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!