Suri rumah hidap kanser kulit rayu bantuan

Pengerusi Sahabat Charity Balqish, Rukiza Abu Bakar (kanan) membantu menguruskan pesakit kanser kulit tahap empat, Syarifah Syarimah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kolon. Foto: Bernama
Pengerusi Sahabat Charity Balqish, Rukiza Abu Bakar (kanan) membantu menguruskan pesakit kanser kulit tahap empat, Syarifah Syarimah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kolon. Foto: Bernama
A
A
A

POKOK SENA - Seorang suri rumah, Sharifah Sharimah Syed Ali, 41, merayu bantuan orang ramai bagi meringankan beban suaminya menyediakan keperluan mereka sekeluarga termasuk rawatannya selepas disahkan menghidap kanser kulit tahap empat, bulan lalu.

Dia yang menetap di Kampung Kolon, di sini, berkata, suaminya Mohd Yusof Awang, 47, yang bekerja sebagai penoreh getah tidak mempunyai pendapatan tetap selain mempunyai tanggungan tiga anak berumur antara lima dan 20 tahun.

“Hidup kami terus berubah dan makin terhimpit dengan suami terpaksa meninggalkan kerjanya dan membawa saya ke Hospital Pulau Pinang (HPP) menjalani rawatan radioterapi di sana kerana doktor di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) memaklumkan sel kanser telah merebak ke otak.

“Pada 24 Februari ini saya akan ke HPP lagi untuk pemeriksaan seterusnya dan memerlukan RM500 kos rawatan tidak termasuk kos pengangkutan dan makan minum suami. Ini yang membingungkan kami disebabkan masalah kewangan kami hadapi,” katanya ketika ditemui Bernama.

Sharifah Sharimah, yang sebelum ini menjual nasi lemak, berkata kesihatannya semakin merosot dan hanya mampu terlantar di rumah sekali gus kini mengharapkan pendapatan suaminya sepenuhnya untuk memenuhi keperluan keluarga.

Sehubungan itu, beliau sangat mengharapkan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dapat mempertimbangkan bantuan bersesuaian yang boleh diberikan kepadanya untuk meringankan beban suaminya.

Sementara itu, Mohd Yusof, berkata, isterinya itu pernah mendapat bantuan daripada LZNK selama setahun antara September 2016 hingga Disember 2017 selepas didapati terdapat ketumbuhan pada bahagian dada pada 2015 dan perlu menjalani pembedahan membuang ketumbuhan itu.

“Waktu itu doktor kesan kanser kulit ini pada tahap awal dan selepas pembedahan membuang ketumbuhan itu dilakukan, isteri saya nampak semakin pulih pada 2017 dan dia tidak lagi pergi mendapatkan rawatan susulan dan pemeriksaan pada tahun berikutnya, dan kami pun berhenti mohon bantuan zakat.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi tidak sangka tahun ini kanser tersebut sudah merebak ke otak hingga menjejaskan pergerakan isterinya. Sekarang, saya sangat memerlukan bantuan daripada JKM dan zakat bagi menampung keperluan isteri saya ini,” katanya.

Sementara itu, nasib Sharifah Sharimah mendapat perhatian daripada Pengerusi Sahabat Charity Balqish (SCB). Rukiza Abu Bakar yang tampil menghulurkan bantuan barangan keperluan serta wang tunai. Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam atas nama Sharifah Sharimah bernombor 02075025100097 atau menghubungi Mohd Yusof di talian 013-8406931. -Bernama