Pemuda Umno fokus tarik pengundi muda

Fadzli Mohd Kamal
A
A

KUANTAN - Pemuda Umno Pahang nekad menjalankan kempen yang lebih berkesan pada PRK Cameron Highlands bagi mengekalkan kerusi Parlimen itu yang sebelum ini dimenangi BN.

Ketua Penerangannya, Fadzli Mohd Kamal berkata, Umno yang bergerak bersama Pas dalam kempen PRK itu sudah mula turun ke lapangan bertemu dengan kelompok anak muda sebaik sahaja diumumkan PRK buat Cameron Highlands.

Menurutnya, bukan sahaja pemuda Umno di peringkat negeri terlibat, malah di peringkat pusat seperti Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki juga turun padang bertemu anak-anak muda di kawasan tersebut.

“Segala gerak kerja kempen Pemuda kita lakukan bersama Pemuda Pas bagi mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands supaya dimenangi parti yang majoriti dianggotai kaum Melayu.

“Saya percaya kesepakatan dalam berkempen mampu memastikan semua jentera dapat menjalankan kempen dengan lebih berkesan,” katanya kepada Sinar Harian.

Kerusi Parlimen Cameron Highlands dimenangi calon BN, Datuk C Sivarrajh pada PRU14 namun diisytiharkan kosong oleh Mahkamah Pilihanraya pada 30 November lalu.

Sivarrajh memenangi kerusi itu yang membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti sebanyak 597 undi.

SPR pada 19 Disember lalu menetapkan PRK Cameron Highlands pada 26 Januari dengan tarikh penamaan calon esok manakala tarikh mengundi awal ditetapkan pada 22 Januari ini.

Dalam pada itu, Fadzli berkata, pihaknya sedar bahawa kemenangan BN pada PRU14 hanya memperoleh kemenangan tipis.

"Jadi kita akan mempertingkatkan usaha dalam mendekati anak muda yang kita dapat menjelaskan kepada anak murid tentang isu semasa yang telah terjadi di negara ini.

“Kita akan bercerita kepada rakyat tentang kelompongan-kelompongan dilakukan oleh kerajaan PH yang perlu kita ubah khususnya janji-janji manis oleh kerajaan terhadap anak muda yang sehingga kini tidak ditunaikan,” katanya.