KPDNHEP pastikan topeng muka untuk pasaran negara mencukupi

Saifuddin melawat kilang menghasilkan topeng muka di Ideal Healthcare Sdn Bhd dekat Kawasan Perindustrian LPK Sungai Petani hari ini.
Saifuddin melawat kilang menghasilkan topeng muka di Ideal Healthcare Sdn Bhd dekat Kawasan Perindustrian LPK Sungai Petani hari ini.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memastikan pengeluaran topeng muka dipertingkatkan bagi memastikan permintaan untuk pasaran negara mencukupi.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan melalui KPDNHEP telah meminta pihak industri meningkatkan pengeluaran bagi memastikan keperluan itu dipenuhi.

Menurutnya, kerajaan juga bersedia memberi penyelesaian kepada beberapa masalah yang dihadapi syarikat tempatan dalam usaha meningkatkan pengeluaran mereka.

"Mereka (syarikat pengeluar) bersedia untuk meningkatkan keupayaan namun kerajaan harus membantu menyelesaikan masalah operasi antaranya dari dua syif kepada tiga syif sekiranya ingin meningkatkan pengeluaran kerana pekerja mereka adalah wanita, kelulusan itu bawah Kementerian Sumber Manusia.

"Ada juga kilang yang mengatakan kami memerlukan pertambahan pekerja," katanya ketika mengadakan lawatan ke Ideal Healthcare Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian LPK Sungai Petani hari ini.

Menurut Saifuddin, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan beberapa kementerian lain dalam usaha memastikan keperluan negara dipenuhi.

Dalam masa sama, katanya, kerajaan sedang mengumpul data pengeluaran topeng muka oleh beberapa syarikat pengeluar di seluruh negara bagi mendapatkan angka yang jelas berhubung kapasiti pengeluaran yang boleh dihasilkan.

"KPDNHEP dan Kementerian Kewangan telah mengadakan pertemuan dengan pihak industri tujuannya mendapatkan gambaran lebih tepat berkenaan bekalan dan dari mana datangnya keperluan topeng muka iaitu dari dua sumber termasuk import dan kilang tempatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berlainan, beliau turut menasihati pengguna agar tidak melakukan pembelian panik terhadap topeng muka sejak penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Sementara itu, berdasarkan kenyataan Ideal Healthcare, kilang berkenaan mempunyai kapasiti menghasilkan 35,000 keping topeng muka sehari.

"Jadi seminggu mereka dah berupaya menghasilkan 245,000 keping, sekiranya beroperasi secara berterusan selama satu bulan kilang ini sahaja mampu mengeluarkan kira-kira 1 juta pengeluaran.

"Kita ada lagi empat atau lima syarikat pengeluar seluruh negara yang kita sedang kumpulkan rekod keupayaan pengeluaran mereka," katanya.

Menurutnya, kerajaan tiada keperluan untuk menyekat pengeluaran eksport topeng muka ke luar negara memandangkan keperluan dalam negara telah dipenuhi.

"Bila kerajaan menyatakan hasrat nak jalinkan kerjasama dengan kilang ini, mereka bersedia, jadi belum ada keperluan untuk kita mengatakan bahawa perlu disekat eksport mereka kerana kerjasama mereka sudah memadai untuk meningkatkan pengeluaran dan memastikan keperluan dalam negara mencukupi," katanya.