X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Pasaran hartanah Johor mungkin terjejas - Exco

Gambar hiasan
A
A

KULAI - Kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan pasaran hartanah di Johor boleh terjejas berikutan kebimbangan pelabur asing terhadap penularan Covid-19 yang melanda beberapa negara termasuk Malaysia, terus berlarutan bagi tempoh yang panjang.

Exco Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Johor, Dzulkefly Ahmad bagaimanapun berkata, kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan dan keadaan pasaran hartanah di Johor.

Justeru katanya, pihaknya bersedia untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menilai impak daripada Covid-19 ke atas sektor hartanah bagi memberi gambaran sebenar.

“Saya tidak menolak kemungkinan kesan (Covid-19) kepada ekonomi (yang) telah jelas (kelihatan) khususnya dalam sektor pelancongan.

“Hartanah juga (boleh terjejas) jika ia memakan masa sehingga tiga atau enam bulan. Ia akan mempunyai kesan kepada industri hartanah terutamanya melibatkan pembeli asing,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di TJ Mart, Saleng dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai sama ada kesan daripada Covid-19 boleh menjejaskan pasaran hartanah di Johor terutamanya yang melibatkan pelabur asing.

Dzulkefly berkata, kebimbangan pelabur asing juga disebabkan ada negara yang telah mengeluarkan larangan kepada rakyatnya untuk ke Malaysia sedangkan kes jangkitan Covid-19 di sini belum berada pada tahap serius.

“Kita akan lihat perangkaan daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) pada suku pertama nanti, yang mana NAPIC juga akan mengeluarkan statistik secara bulanan berkaitan jumlah pindah milik hartanah termasuk kuantiti atau dolar dan sen,” katanya sambil menambah tindakan susulan akan dibuat sekiranya perlu.

Setakat ini, katanya Singapura dan China antara 10 negara asing yang paling banyak membeli hartanah di Malaysia bagi tujuan pelaburan.

Terdahulu, beliau yang hadir dalam program Info on Wheels (IOW) oleh Unit Hebahan Bergerak Jabatan Penerangan Johor di sini, turut mengedarkan risalah berkaitan COVID-19 kepada masyarakat untuk meningkatkan kesedaran mengenai virus itu.

Setakat ini, sebanyak 86 program IOW telah dianjurkan di negeri itu bertujuan memaklumkan kepada masyarakat mengenai program yang memberi manfaat kepada rakyat termasuk mySalam, Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) dan i-Suri.- Bernama