Wisma Putra jalin kerjasama dengan tiga universiti awam: Saifuddin

Saifuddin bercakap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pengurusan Ilmu dan Pertukaran Memorandum Persefahaman antara Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR). -Foto Bernama
Saifuddin bercakap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pengurusan Ilmu dan Pertukaran Memorandum Persefahaman antara Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR). -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Wisma Putra menjalin kerjasama dengan tiga universiti awam dalam pengurusan ilmu yang membuka ruang untuk mengembangkan skop perkongsian maklumat dalam bidang diplomasi dan hubungan antarabangsa.

Tiga universiti itu ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata ia akan mengukuhkan kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan dan kebudayaan yang merangkumi aspek pertukaran ilmu dan maklumat dalam kalangan anggota kerja.

“Ia juga melibatkan penerimaan siswa untuk tujuan kajian, penganjuran bersama program wacana ilmu, pertukaran ilmu berkaitan pembangunan aspek pengajaran dan pembelajaran serta perkongsian dokumen, tesis, disertasi dan artikel yang berhubung kait dengan diplomasi dan hubungan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pertukaran memorandum persefahaman antara Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) dengan tiga universiti itu untuk program pengurusan ilmu, di sini hari ini.

Saifuddin berkata usaha mempromosi pengurusan ilmu penting dalam memastikan sesebuah organisasi tidak kehilangan ilmu yang ada dalam kalangan pegawai dan pada masa yang sama untuk mendapatkan ilmu daripada sumber luar daripada organisasi.

Selain itu, katanya pengurusan ilmu adalah platform untuk memperoleh ilmu tersirat daripada mantan diplomat dan pegawai lain supaya ia dapat digunakan sebagai latihan dan panduan untuk diplomat muda dan yang masih berkhidmat untuk menangani masalah dengan negara luar.

"Mengikut penyelidik bidang pengurusan, lebih 50 peratus ilmu dalam organisasi tidak direkod. Kita akan mengalami kerugian dan tidak berkembang dengan maju kerana tidak mempunyai ilmu atau maklumat yang mencukupi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Saifuddin berkata IDFR telah mewujudkan satu portal yang dikhususkan untuk pelaksanaan inisiatif pengurusan ilmu bagi Kementerian Luar untuk memastikan maklumat berkaitan dengan bidang diplomasi dan hubungan antarabangsa seperti hasil penulisan tesis, disertasi dan artikel adalah satu proses yang berterusan.

Katanya, Wisma Putra mempunyai lebih 100 'missions' di luar negara dan bertugas pada waktu yang berbeza, justeru portal itu mampu membantu pegawai mengakses maklumat serta berkongsi maklumat bukan sahaja dalam Kementerian Luar tetapi juga dengan agensi lain.

Saifuddin berkata kerjasama dengan tiga universiti itu juga menyediakan platform untuk menggalakkan pegawai mengikuti program persarjanaan.

Kementerian Luar melaksanakan pengurusan ilmu sejak Julai tahun lepas dengan hasrat untuk mempromosi perkongsian ilmu dalam kalangan warganya yang seterusnya membolehkan penghasilan ilmu baharu yang penting dan berguna. Inisiatif itu untuk memastikan ilmu tersurat dan tersirat diperoleh daripada bekas diplomat dan dikongsi bersama pegawai yang masih berkhidmat. -Bernama