X

Kindly register in order to view this article
!

Persiapan kahwin, Joe Flizzow akur kehendak ibu

Joe Flizzow - FOTO: Rosli Talib
A
A

MESKIPUN majlis perkahwinannya bakal berlangsung pada awal April ini, penyanyi dan juga rapper terkenal, Joe Flizzow masih lagi sibuk dengan aktiviti seninya yang kini semakin rancak dengan pelbagai projek terbaharu di dalam dan luar negara.

Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak, 41, bagaimanapun tidak gusar kerana urusan persiapan majlis perkahwinan itu diuruskan oleh ibunya, Aishah Ali.

“Insya-ALLAH saya akan menamatkan saya bujang pada awal April depan. Buat masa ini saya belum dapat kongsikan tarikhnya, tetapi majlis tersebut akan diadakan di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur.

“Majlis nikah dan resepsi akan diadakan pada hari dan tempat yang sama. Senang untuk selesaikan semua perkara dalam satu hari sahaja.

“Soal persiapan saya serahkan kepada ibu kerana dia lebih arif dan dalam masa yang sama, sangat teruja dengan perkahwinan ini. Untuk saya, ia lebih kepada persediaan mental sahaja untuk bergelar suami,” ujar Joe yang mengikat tali pertunangan dengan gadi pilihannya, Marini Ramlan pada 28 Disember tahun lalu.

Menurut Joe lagi, kalau diikutkan impian perkahwinannya sebelum ini, dia hanya mahu mengadakan majlis pernikahan secara sederhana di masjid bersama keluarga terdekat.

Namun disebabkan permintaan ibunya yang mahukan majlis istimewa itu diraikan bersama lebih ramai saudara-mara dan kenalan, penyanyi Apa Khabar itu akur untuk mengadakan majlis di lokasi yang boleh memuatkan lebih ramai tetamu.

“Terus-terang saya katakan, impian saya sejak dulu memang nak buat majlis nikah kat masjid sahaja.

“Namun ibu saya berkeras mengatakan ramai tetamu yang nak datang meraikan saya termasuk saudara-mara dan kenalan yang tumpang gembira dengan perkahwinan ini.

“Jadi saya ikut sahaja kerana bila difikirkan balik, apa salahnya kita buat majlis lebih meriah untuk untuk rapatkan keluarga kedua-dua belah pihak.

“Sebab itulah kami memilih Dewan Perdana Felda sebagai lokasi majlis ini. Boleh muat lebih 1000 orang tetamu.,” kata Joe yang juga merupakan anak kepada bekas pembaca berita TV3, Allahyarham Ishak Nengah.