X

Kindly register in order to view this article
!

Saya kini tidak lupakan solat - Mamat

Mamat Exists - FOTO: Rosli Talib
A
A

SELEPAS kontroversi demi kontroversi yang menimpanya, bekas vokalis Exists, Mamat, tidak mahu menoleh ke belakang lagi dan berusaha menjadi insan lebih baik, sekali gus membina hidup baharu.

Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamaruddin, 42, yang sebelum ini berdepan masalah penyalahgunaan dadah turut menjalani rawatan pemulihan di Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) pada Oktober tahun lalu.

“Ketika bersama Pengasih saya banyak menjalani sesi kaunseling selain beberapa aktiviti yang disediakan di sana.

“Alhamdulillah saya kini tidak lupakan solat dan bersyukur dengan keyakinan yang ALLAH berikan untuk kembali pulih sepenuhnya.

“Unsur negatif semakin berkurangan dalam diri saya, sebaliknya perkara-perkara positif mula memberikan kebaikan,” kata Mamat kepada Sinar Harian.

Menurut penyanyi kelahiran Johor Bahru itu, sehingga kini dia masih berhubung dengan pihak pengasih untuk terus mendapat dorongan dan sokongan.

“Pemulihan yang diberikan sungguh baik dan saya betul-betul berterima kasih kepada mereka. Kini saya baru nampak jalan yang seharusnya saya pilih dalam hidup.

“Bagaimanapun saya sebolehnya tidak mahu lagi mengungkit kisah lalu. Memang sebelum ini saya nakal, buat benda yang kita tidak tahu kesannya.

“Sekarang bila dah melalui semua itu dan sedar apa kesudahannya, maka pilihlah mana yang baik dan buruk,” katanya yang ditemui pada sidang media Nusa Fest baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mamat yang juga merupakan bapa tunggal kepada tiga cahaya mata itu, berkongsi berita gembira bakal menamatkan zaman dudanya tidak lama lagi.

“Calonnya sudah ada, cuma belum ada ketetapan yang pasti tentang tarikh untuk kahwin. Mungkin masanya sudah tiba kerana saya sudah menduda sejak lebih 12 tahun lalu.

“Saya mengenalinya sudah lama kerana dialah yang banyak memberi sokongan moral dan inspirasi untuk saya mengenal erti kebaikan dan hormat kepada diri sendiri.

“Saya harap ia akan menjadi permulaan baik dalam hidup saya. Saya tidak mahu ada masalah lain lagi selepas ini dan melukakan keluarga, sahabat handai dan peminat yang mengenali saya,” tegas Mamat.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus