Pesawat latihan TUDM mendarat cemas

Keadaan pesawat Pilatus PC-7 MK II selepas pendaratan cemas di landasan KTU, malam tadi.
A
A

ALOR SETAR - Sebuah pesawat latihan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) jenis Pilatus PC-7 MKII melakukan pendaratan cemas di landasan Kolej Tentera Udara (KTU), malam tadi.

Menurut kenyataan dikeluarkan Bahagian Perhubungan Awam TUDM, memaklumkan pesawat berkenaan diterbangkan seorang pelatih Kolej Penerbangan 1 (INSPENS 1) yang mengikuti latihan penerbangan solo pada waktu malam.

“Pesawat milik KTU itu memulakan penerbangan pada 10.14 malam sebelum pesawat itu mengalami kecemasan ketika cuba melakukan pendaratan pada 10.38 malam,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun, pesawat terbabit berjaya mendarat dan juruterbang pelatih itu disahkan selamat tanpa sebarang kecederaan.

Susulan kejadian itu, TUDM akan menubuhkan satu pasukan penyiasatan untuk mengenal pasti punca kejadian dengan lebih terperinci.