Jamal mohon kes saman dua kes menteri terhadapnya dibicara bersama

Jamal Md Yunos
Jamal Md Yunos
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos memohon supaya kes saman fitnah yang difailkan dua menteri terhadapnya berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) dibicarakan bersama.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dan Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim memfailkan saman itu secara berasingan pada 2017 selepas mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap mereka berhubung penyalahgunaan dana Yawas.

Peguam Rejinder Singh yang mewakili Jamal berkata anak guamnya mengemukakan permohonan itu atas alasan isu dalam kedua-dua saman berkenaan adalah sama kerana ia membabitkan penyalahgunaan dana Yawas dan saksi yang terlibat juga sama.

"Hari ini, kedua-dua pihak telah berhujah di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rozana Ali Yusoff dan selepas mendengar hujahan, mahkamah menetapkan 6 Mac untuk memberi keputusan sama ada membenarkan kedua-dua kes dibicarakan bersama atau sebaliknya," katanya kepada pemberita selepas pendengaran permohonan itu hari ini.

Rejinder turut dibantu peguam Mohammed Nasser Yusof dan Mohamad Fauzi Abdul Samad.

Peguam K Murali yang mewakili Bee Yin berkata, pihaknya membantah permohonan berkenaan berikutan jadual kedua-dua menteri tersebut tidak sama dan ini menyukarkan mereka hadir ke mahkamah sekiranya kes saman itu dibicarakan bersama.

Kes saman Bee Yin didengar di hadapan Hakim Rozana manakala kes saman difailkan Kok didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Quay Chew Soon.

Bee Yin dan Teresa selaku plaintif memfailkan saman itu masing-masing pada 14 Jun dan 6 April 2017 dengan menamakan Jamal selaku defendan tunggal.

Artikel Berkaitan:

Dalam kedua-dua saman itu, Bee Yin dan Teresa mendakwa Jamal telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap mereka berkaitan dana Yawas dan kenyataan berkenaan disiarkan oleh media cetak dan elektronik termasuk di laman sosial Facebook milik Jamal.

Kedua-dua plaintif mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain memberikan gambaran bahawa mereka telah menyalahgunakan dana tersebut untuk kegunaan sendiri dan seorang yang tidak beretika serta tidak boleh dipercayai.

Bee Yin dan Teresa masing-masing menuntut ganti rugi am RM5 juta dan RM1 juta, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau mana-mana ejennya daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah berkenaan. - Bernama