Anggota MPSJ tidak diberi tugasan penguatkuasaan sementara

Noraini
Noraini
A
A
A
SUBANG JAYA - Anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang tular di media sosial berhubung satu insiden di USJ 9 di sini tidak akan diberi tugasan penguatkuasaan sementara siasatan kes dijalankan.

Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, pihaknya juga akan menjalankan siasatan dalaman yang adil dan terperinci berhubung kejadian itu serta-merta.

Merujuk kepada video yang tular, Noraini berkata, kejadian berlaku ketika anggota penguat kuasa tersebut menjalankan tugas menunda kenderaan yang menghalang lalu lintas di kawasan komersial USJ 9.

Menurutnya, pemilik kenderaan terbabit dikatakan tidak berpuas hati kerana kenderaannya dikenakan tindakan penguatkuasaan.

“Beliau (pemilik kenderaan) cuba melepaskan kenderaannya daripada alat tunda sebelum memarahi dan memukul anggota menggunakan payung sehingga menyebabkan berlaku insiden tindak balas oleh anggota penguat kuasa berkenaan.

“Kesalahan trafik dan memukul pegawai bertugas adalah jelas. MPSJ turut memandang serius tindak balas anggota penguat kuasa dalam kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu Noraini berkata, orang awam yang tidak berpuas hati dengan tindakan penguatkuasaan dikenakan boleh mengemukakan aduan secara rasmi kepada pihak MPSJ atau Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri untuk tindakan lanjut.

ARTIKEL BERKAITAN: ADUN kecewa insiden lelaki dikasari penguat kuasa MPSJ

Terdahulu tular satu video berdurasi 37 saat menunjukkan seorang lelaki 'mengacukan' payung kepada seorang anggota penguat kuasa MPSJ.
Artikel Berkaitan:


Tindakan itu dipercayai berlaku selepas anggota tersebut melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap kenderaan milik lelaki terbabit.

Anggota terbabit pada mulanya meminta supaya lelaki tersebut tidak menggunakan kekerasan, namun lelaki itu terus memukul penguat kuasa berkenaan.

Dipercayai berang dengan perbuatan lelaki itu, anggota penguat kuasa menumbuk dan menjatuhkannya ke lantai.

Video itu turut merakam lelaki terbabit cedera dan mengalami pendarahan di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian tersebut.