'Arwah Mohamad Faiz mahu bina rumah depan rumah saya'

Che Senah Che Awang
Che Senah Che Awang
A
A
A

KOTA BHARU - Hasrat arwah Lans Koperal Mohamad Faiz Bakhri, 28, untuk mendirikan rumah berhampiran rumah ibunya di Kampung Jambu di sini tidak kesampaian apabila dia maut dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Ipoh-Kuala Kangsar berhampiran Kampung Salak Stesen di Sungai Siput, Ipoh malam tadi.

Ibunya, Che Senah Che Awang, 62, memberitahu, hasrat tersebut dimaklumkan arwah minggu lepas semasa pulang cuti sempena Tahun Baru Cina.

"Dia beritahu saya nak dirikan rumah di kawasan depan rumah saya ni, tapi belum cukup duit lagi. Cuma dia beritahu awal-awal pada saya untuk tanda tapak tanah.

"Saya kata buatlah, baguslah duduk dekat-dekat dengan adik beradik yang lain," katanya kepada media di kediamannya hari ini.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan arwah termasuk isteri, Nik Idayu Nik Hasan, 30; anak bongsu mangsa, Mohammad Faqih Irshad Mohamad Faiz, 2, dan adik ipar Faiz, Nik Ifieka Nik Hassan, 28, maut dalam kemalangan jam 10.20 malam tadi selepas kenderaan dinaiki mereka dirempuh treler muatan bahan binaan.

Bagaimanapun anak sulung pasangan itu, Mohammad Fariz Iskandar Mohamad Faiz, 3, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Mohammad Faiz bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput.

Che Senah berkata, semasa pulang bercuti baru-baru ini, arwah memintanya membekalkan ayam percik untuk dibawa pulang ke Perak.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum itu dia ada makan yang keluarga mertua dia buat, tapi masa nak balik dia minta saya masak lagi sekali menu yang sama iaitu ayam percik untuk dibawa bekal balik.

"Tapi saya tak buat ayam percik, disebabkan kesuntukan masa, saya buat gulai ayam menggunakan kerangka ayam. Alhamdulillah, dia bawa balik bekal tersebut ke Perak dan itulah masakan terakhir saya untuk dia," katanya.

Che Senah Che Awang
Che Senah Che Awang

Che Senah berkata, dia masih terkejut dengan pemergian anak keenamnya itu termasuk cucu dan menantunya, tambahan pula perkhabaran tersebut dimaklumkan sendiri oleh suaminya, Bukhari Rejab, 65.

"Saya hampir lena, tiba-tiba telefon bimbit suami berbunyi pada jam 12.15 tengah malam tadi. Selepas menjawab telefon, dia beritahu, 'dio tak dok doh'. Banyak kali saya tanya siapa yang 'tak dok doh', lepas itu baru suami beritahu, Faiz sudah meninggal.

"Saya terkejut, meraung dan hilang pertimbangan diri akibat terlalu terkejut dengan perkara tersebut. Namun setelah diredakan suami dan saudara terdekat, barulah saya dimaklumkan pula cucu dan menantu saya turut meninggal dunia dalam kejadian yang sama. Luluh hati saya, tiada kata dapat digambarkan perasaan saya," katanya.

Ketika hayatnya, Che Senah memberitahu, arwah merupakan seorang anak yang baik, mendengar kata dan tidak banyak bercakap.

Malah setiap kali pulang ke kampung, ada sahaja bekalan yang dibawa untuk diberikan kepada kaum keluarga dan jiran tetangga.

"Dia suka bersedekah, suka beli macam- macam dan bagi pada keluarga dan jiran. Memang ada sahaja bekalan kalau dia balik.

"Baru ini dia balik dan dia minta saya sediakan macam-macam. Jarang dia begitu. Tapi saya tidak pelik pun sebab memang biasa saya sediakan apa sahaja keperluan anak-anak yang berada di kejauhan," katanya.

Mohammad Faiz, isteri dan anaknya akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Kampung Jambu, petang ini manakala adik ipar arwah akan dibawa pulang ke Jejulok, Bachok untuk dikebumikan di sana.