X

Kindly register in order to view this article
!

Pelajar Malaysia diusir dari rumah sewa gara-gara Covid-19

Nota yang ditampal di pintu rumah sewa Helen.
A
A

PERTH - Berikutan bimbang dengan penularan wabak koronavirus (Covid-19), seorang pemilik rumah bertindak mengusir seorang pelajar Malaysia yang menyewa rumahnya di Perth, Australia.

Pelajar tersebut yang dikenali sebagai Helen berkata, dia sebelum itu pulang bercuti beberapa minggu ke Malaysia untuk melawat keluarganya sebelum kembali ke rumah sewa itu.

Dia berkata, sekembalinya ke rumah sewa berkenaan, dia menemui sekeping nota yang ditampal di pintu masuk.

Nota terbabit berbunyi: "Amaran jangan ceroboh. Disebabkan anda gagal menghubungi saya dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kerana isu kecemasan global, koronavirus, anda tidak dialu-alukan lagi dalam rumah ini."

Selain itu, kunci rumah terbabit turut ditukar kepada yang baharu membuatkan wanita itu tidak dapat mengambil barangan peribadinya.

Helen berkata, dia cuba mendapatkan penjelasan pemilik rumah itu namun tidak dapat dihubungi.

"Saya juga cuba meminta bantuan polis namun tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu saya.

“Saya rasa sangat sedih dan keliru kerana saya tak buat apa-apa tetapi kenapa perkara seperti ini berlaku kepada saya?” lapor ABC Perth.

Dalam pada itu, Helen berkata, dia berharap tindakan diambil terhadap isu berkenaan kerana menyebarkan mesej yang salah berkaitan Covid-19.

“Saya tidak mahu balik ke bilik ambil barang kerana saya takut. Ini tidak adil. Saya rasa mereka perlu buat sesuatu, jangan sebarkan mesej salah kepada setiap orang,” katanya.