X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan 'ali baba' tapak bazar Ramadan!

Mohd Zohdi
A
A

ALOR SETAR - Peniaga bazar Ramadan di bandaraya Alor Setar pada tahun ini diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya 'mengalibabakan' tapak perniagaan kepada pihak ketiga.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mohd Zohdi Saad berkata, sebanyak 2,429 tapak disediakan untuk bazar Ramadan anjuran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bermula 24 April hingga 23 Mei.

Beliau berkata, pihaknya menawarkan 2,118 tapak juadah berbuka puasa termasuk 'food truck' manakala 311 tapak lagi melibatkan perniagaan pakaian dan barang perhiasan.

"Daripada jumlah tersebut, 145 tapak untuk pakaian dan barangan hiasan (bertender) berkhemah di Stadium Darulaman, 126 tapak lagi untuk peniaga uptown sahaja di Stadium Darulaman dan 40 tapak tanpa khemah di Tesco Mergong.

"Bagi perniagaan makanan dan minuman pula, sebanyak 856 tapak berkhemah disediakan di Peremba, Simpang Empat, Kuala Sungai, Stadium Darulaman, Pekan Langgar, Pokok Sena dan Medan Selera Darulaman," katanya.

Katanya, sebanyak 1,254 tapak makanan dan minuman tidak berkhemah lagi disediakan di Taman Wira, Simpang Kuala, Kota Sarang Semut, Taman Aman, Taman Nuri, Tandop, Kuala Kedah, Fama Kuala Kedah dan Taman Mergong Jaya 1.

"Tidak ketinggalan Taman Bersatu, Taman Saga, Kawasan Perusahaan Mergong, Taman Budiman, Medan Selera Teratai (peniaga sahaja) dan Tandop 2," katanya.

Malah, katanya, terdapat pertambahan tapak tahun ini berbanding tahun lepas apabila MBAS turut menyediakan tapak bazar Ramadan baharu seperti di Pantai Johor susulan sambutan dan permintaan diterima daripada penduduk setempat.

Bagaimanapun katanya, MBAS mengingatkan peniaga supaya tidak 'mengalibabakan' tapak bazar berkenaan, malah tidak sesekali menggunakan khidmat warga asing kecuali mereka mempunyai permit sah.

Katanya, tapak niaga akan dirampas, manakala deposit mereka akan batal sekiranya didapati 'mengalibabakan' tapak niaga di bazar Ramadan kepada pihak lain.

"Bagaimanapun berdasarkan pengamatan tiada kes peniaga 'mengalibabakan' tapak niaga mereka ditemui, namun kita nasihat supaya tiada yang berbuat sedemikian.

"Antara syarat lain menjaga kebersihan tapak perniagaan dan makanan selain tidak dibenarkan sebarang pertukaran nombor tapak, menggunakan pembesar suara yang boleh ganggu ketenteraman awam,mendirikan gerai sementara lain dari gerai diperuntukkan, penyambungan ataupun pendawaian elektrik secara haram dan lain-lain," katanya.

Sehubungan, katanya seramai 50 penguatkuasa akan melakukan kerja pemantauan di semua tapak bazar di kawasan berkenaan demi memastikan syarat ditetapkan dipatuhi peniaga.

Katanya, tarikh jualan dan serahan borang tapak makanan dan minuman mengikut kadar harga ditetapkan akan diadakan bermula pada 17 Februari ini hingga 12 Mac manakala tarikh 15 Mac hingga 29 Mac untuk jualan dan serahan borang tapak bazar pakaian dan barangan hiasan.