Pendidikan jaminan masa depan

Pinjaman menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah pilihan terbaik untuk memastikan anak anda menamatkan pengajian mereka.
Pinjaman menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah pilihan terbaik untuk memastikan anak anda menamatkan pengajian mereka.
A
A
A

MENJADI ibu bapa pada hari ini bukan sesuatu yang mudah. Mereka bakal berdepan dengan pelbagai cabaran dalam mendidik anak-anak. Ibu bapa juga perlu memastikan anak-anak bukan sekadar dibesarkan tetapi perlu diberi pendidikan dalam konteks akal, jasmani dan rohani agar anak-anak itu cemerlang dari segi akhlak dan sosialnya.

Suasana persekitaran hari ini sangat berbeza malah memberi tekanan kepada ibu bapa dalam menangani cabaran perubahan semasa dunia. Apatah lagi jika menyebut tentang pendidikan dan masa depan. Ibu bapa terpaksa bekerja keras untuk menambah pendapatan tanpa sedar mereka telah mengurangkan masa bersama anak-anak.

Kesibukan membina kerjaya menyebabkan ada kalangan ibu bapa tidak sempat melihat perkembangan dan prestasi anak-anak. Apabila mendapati keputusan peperiksaan anak lemah, memaksa ibu bapa menyediakan kelas tambahan untuk memastikan masa depan anak-anak terjamin.

Ibu bapa perlu bijak menabung bagi memastikan pendidikan anak-anak terjamin bermula dari pendidikan di peringkat rendah lagi.
Ibu bapa perlu bijak menabung bagi memastikan pendidikan anak-anak terjamin bermula dari pendidikan di peringkat rendah lagi.

Dalam pada berusaha membaiki taraf pendidikan anak-anak, ada ibu bapa yang terpaksa ikat perut kerana kos pendidikan terlalu tinggi. Apakah cara terbaik bagi mengatasi masalah ini?

Anak-anak ibarat kain putih, menjadi tugas ibu bapa untuk mencorakkan masa depan mereka. Menyentuh tentang matlamat pendidikan masa depan, ia perlu bermula dari peringkat awal bagi mencipta kecemerlangan di masa hadapan.

Kos pendidikan mahal

Kajian oleh Expert Market yang berpangkalan di London menunjukkan bahawa Malaysia tersenarai sebagai negara ke-5 paling mahal untuk kos melanjutkan pendidikan ke universiti berdasarkan pendapatan isi rumah. Manakala Hungary iaitu sebuah negara yang pendapatan isi rumah terendah disenaraikan sebagai negara paling mahal untuk kos pendidikan universiti.

Secara purata, ibu bapa di Malaysia memperuntukkan lebih 50% daripada gaji untuk menanggung kos pendidikan anak hingga tamat pengajian. Walaupun jumlah bayaran kursus dan kos pengajian di universiti awam jarang melebihi RM30,000, realitinya ramai yang tidak mampu meneruskan pengajian ke peringkat tinggi gara-gara masalah kewangan.

Artikel Berkaitan:

Bayangkan pula jika anak-anak perlu meneruskan pengajian di universiti swasta di mana kosnya akan berlipat kali ganda.

Bagi golongan B40 iaitu yang berpendapatan isi rumah di bawah RM4,360, mereka masih berdepan kekangan membiayai kos pengajian anak di universiti awam. Mereka perlu menyediakan sebahagian besar daripada pendapatan untuk menampung yuran pengajian anak-anak jika tanpa pinjaman atau biasiswa.

Ibu bapa di Malaysia perlu memulakan simpanan untuk masa depan anak-anak bagi mendepani kos pengajian yang mungkin akan meningkat saban tahun. Kos pengajian anak-anak perlu diletakkan dalam perancangan belanjawan keluarga. Kecil atau besar pendapatan yang anda miliki, kawal tabiat berbelanja dan urus kewangan secara berhemah demi masa depan anak-anak.

Menurut kajian yang diperoleh daripada Bank Negara Malaysia (BNM), sebanyak 75 peratus daripada rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan khas sebanyak RM1,000! Laporan pada tahun 2017 oleh Institut Khazanah menunjukkan, Malaysia mempunyai kadar simpanan terendah di dunia.

Kenapa? Banyak faktor yang dikaitkan dengan isu ini antaranya gaji yang rendah memaksa mereka membelanjakan sepenuhnya pendapatan untuk kos saraan, dan ada pula yang dikaitkan dengan soal gaya hidup.

Kecil atau besar pendapatan yang diterima, menabung tetap menjadi satu keperluan. Tabiat atau amalan menabung memerlukan komitmen dan disiplin yang tinggi.

Menabunglah melalui agensi kewangan yang sah supaya konsep tabungan anda konsisten. Apakah antara cara-cara untuk berbuat demikian?

Tiga elemen utama di bawah boleh dijadikan panduan:

Buka akaun simpanan:

Tak perlu tunggu anak masuk sekolah untuk mulakan simpanan. Buka akaun di mana-mana bank sejurus selepas anak dilahirkan. Mulakan dengan jumlah serendah RM50 sebulan, diikuti secara tahunan setiap kali anak menerima duit/angpau hari raya. Makin lama usia penyimpanan, pelbagai tawaran lumayan bakal diterima daripada pihak bank.

Daftar dengan SSPN-I Plus:

Skim simpanan SSPN-i Plus adalah satu bentuk tabungan masa depan yang diperkenalkan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada tahun 2012. Melalui tabungan serendah RM30, penyimpan bakal menikmati pelbagai faedah dan manfaat iaitu simpanan dijamin kerajaan, patuh syariah, dividen kompetitif, elaun kemasukan hospital, pelepasan taksiran cukai, manfaat perlindungan, khairat kematian dan manfaat takaful.

Skim pendidikan insurans:

Syarikat insurans kebanyakannya ada menawarkan pelan pendidikan yang digabungkan dengan insurans pelindungan. Pastikan polisi dan pelan yang ditawarkan mempunyai pelbagai faedah termasuk menyediakan perlindungan seandainya anak meninggal dunia atau hilang upaya.

Alternatif pembiayaan pelajaran

Anda telah gigih menyimpan tetapi simpanan masih tidak mencukupi. Itu tidak bermakna anak-anak anda tidak layak meneruskan pengajian. Ada beberapa pilihan lain yang boleh membantu anda meneruskan misi melihat kejayaan anak-anak.

Biasiswa: Jika anak anda mempunyai keputusan yang cemerlang, mohonlah biasiswa. Selain Jabatan Perkhidmatan Awam, terdapat banyak agensi di bawah kerajaan termasuk syarikat swasta yang menawarkan biasiswa kepada pelajar cemerlang.

Simpanan KWSP: Ahli boleh memilih untuk mengeluarkan simpanan daripada Akaun 2 bagi membiayai pendidikan sendiri atau anak-anak di institusi dalam dan luar negara yang diluluskan.

Pinjaman: Jadikan ini sebagai alternatif terakhir. Pinjaman menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah pilihan terbaik. Jika anda dalam kategori B40, anak-anak anda layak menerima pinjaman penuh PTPTN. Pastikan anak-anak membuat bayaran balik secara konsisten selepas tamat pengajian.

Proses mengurus kewangan perlu diterapkan kepada anak-anak untuk masa depan mereka. Ibu bapa perlu tekankan kepentingan berjimat cermat dan tidak menggunakan wang simpanan, pinjaman atau biasiswa untuk tujuan yang tidak berfaedah.

1. Ajar anak menabung:

Proses mengawal selia kewangan perlu bermula pada awal usia anak-anak. Ibu bapa berperanan menggalakkan anak-anak bercakap tentang cita-cita dan masa depan. Didik mereka tentang kepentingan

menyimpan dan tidak membelanjakan kesemua wang saku termasuk duit raya.

2. Ulang pakai peralatan sekolah:

Tanamkan konsep berjimat cermat dan menjaga barangan peribadi supaya anak-anak tidak terikut-ikut mahukan peralatan baru setiap kali sesi awal tahun persekolahan. Didik mereka supaya tidak membazir dengan mengulang pakai peralatan yang masih elok.

3. Terapkan minat kemahiran:

Anak-anak perlu didedahkan dengan ilmu berkaitan kemahiran. Jika mereka kurang cenderung kepada akademik, galak untuk meneruskan pembelajaran vokasional di peringkat menengah. Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) mampu melahirkan generasi mudah berkemahiran tinggi.

Pendidikan adalah satu usaha berterusan ke arah mengembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh bagi melahirkan rakyat Malaysia berilmu, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri.

Pendidikan anak-anak adalah satu bentuk pelaburan jangka panjang bagi memastikan negara mempunyai pemimpin berkaliber pada masa hadapan, selain membentuk masyarakat yang berilmu, berintegriti dan berkualiti. Ibu bapa adalah pemangkin yang mampu mengubah dan mencorak masa depan anak-anak.