X

Kindly register in order to view this article
!

Sebutan semula kes Geng Kabali 26 Mac depan

Mahkamah hanya membenarkan ahli keluarga tertuduh mendengar prosiding.
A
A

SEREMBAN - Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menetapkan 26 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Kabali’ yang dihadapi 19 individu.

Hakim, Madiah Harullah menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izhanudin Alias dan Muhammad Asyraf Minhad memohon tarikh baharu selepas memaklumkan bahawa laporan forensik masih belum diperoleh.

Mohd Izhanudin ketika ditemui media selepas prosiding itu berkata, pihaknya akan mengemukakan permohonan untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Seremban.

Pada 9 Januari lalu, S Prabu, S Viven, T Siva Ravikumar, S Subramaniam, G Kartik, S Prakash, R Kamal Rajh, T Siva Kartik, U Kartik, B Kalaiarasan, G Yuganraj, K Shasithar, G Murali, S Ilangovan, L Navinraj, K Sarugunan, S Sivabalan, G Thanaselan dan M Puspalingam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Kabali.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di lorong kecil di Jalan Besar Batu 12 1/2 Jalan Rantau -Silliau, antara 1 Februari hingga 27 November 2019.

Semua tertuduh yang berusia dari 18 hingga 50 tahun itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 575) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun jika disabit kesalahan.

Kesemua 19 individu berkenaan tiba di Kompleks Mahkamah Seremban pada jam 9 pagi hari ini dan prosiding berlangsung selama satu jam.

Bagaimanapun hanya ahli keluarga dibenarkan masuk ke kamar mahkamah untuk mendengar prosiding tersebut.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus