Khalid ketika bercakap dalam program Bicara Minda, semalam. - Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A

SELEPAS enam bulan dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad mengakui bukan mudah menggalas jawatan itu dengan pelbagai perkara yang perlu diperbetulkan agar agensi di bawah kementerian itu terutamanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) lebih telus.

Sebelum ini, pelbagai skandal tanah dibangkitkan ahli Parlimen PH.

Ikuti Bicara Minda yang menampilkan Khalid sebagai panel yang dikendalikan moderator Tan Sri Johan Jaaffar yang berlangsung di dewan Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, semalam.

Khalid Samad janji dedah penyelewengan tanah kerajaan

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berjanji akan membuat pendedahan berhubung penyelewengan dan salah guana kuasa membabitkan pembinaan bangunan di atas tanah kerajaan yang dilakukan tanpa mengikut prosedur betul.

Menurutnya, penyelewengan projek pembangunan komersial pada tahun 2010 itu dikesan pada bulan lalu.

“Kita telah mengesan tanah milik kerajaan diberikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada pemaju untuk membangunkan kawasan tersebut tanpa mengikut prosedur.

Penyelewengan tersebut dipercayai dilakukan oleh beberapa pegawai DBKL di pelbagai jabatan.

Ini menunjukkan proses yang sepatutnya diamalkan tidak diamalkan oleh kerajaan terdahulu.

Surat untuk mengosongkan bangunan tersebut telah dikeluarkan.

Kita akan buat pendedahan sepenuhnya berhubung kes ini minggu depan di DBKL sebelum ia diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.

Banyak yang perlu kita perbetulkan dalam DBKL dan kami memerlukan tempoh setahun setengah untuk ‘membersihkan’ agensi itu termasuklah melihat kembali proses tender.

Bagi menangani isu tersebut agar tidak berulang, kementerian merancang untuk mewartakan Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 agar pembangunan Kuala Lumpur dapat diteruskan mengikut perancangan.

Dahulu Kuala Lumpur mempunyai master plan (pelan induk) tetapi tidak pernah digazetkan sehingga menyebabkan banyak tanah diberikan kepada pemaju.

Menteri dan Datuk Bandar boleh meluluskan projek dengan mudah tanpa mengambil kira faktor-faktor tentu.

Mengikut amalan antarabangsa, sesuatu pelan induk yang telah dihasilkan kita wartakan dan dipatuhi.

Walaupun digazetkan ia masih boleh ditukar mengikut prosedur yang ketat. Tidak semudah mendapatkan tandatangan Datuk Bandar.

Ini adalah antara masalah yang saya cuba tangani. Perbincangan dengan Jabatan Perancangan Bandar, DBKL dan pelbagai pihak yang lain, akhirnya semua setuju (wartakan pelan induk).

Biarpun ada kelemahan, namun ia lebih baik daripada tidak diwartakan yang boleh menyebabkan banyak perkara berlaku."

Rancangan pembangunan Kampung Baru tiga tahun lagi

Kerajaan kata Khalid, akan memutuskan rancangan pembangunan Kampung Baru untuk tempoh dua atau tiga tahun lagi.

Khalid berkata, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang telah mendapatkan pandangan penduduk setempat berhubung perkara itu dan sedang meneliti semua pandangan mereka.

"Kita sudah bincang dan buat tinjauan dan adakan perancangan untuk membangunkan Kampung Baru itu dengan dua atau tiga pendekatan yang belum diputuskan.

Yang penting tinjauan sudah dilakukan dan mereka mahu kerajaan yang laksanakan pembangunan itu kerana mereka kurang yakin dengan pemaju swasta.

Jadi di peringkat kementerian, kita sekarang sedang berbincang dan perbincangan dengan Kementerian Kewangan adalah bagaimana kira hendak cari dana untuk membangunkan Kampung Baru atas kapasiti DBKL itu sendiri dan dapatkan kemampuan kewangan.

Dicadangkan buat macam sukuk atas nama DBKL dan kita boleh beli semua untuk kita bangunkan bersama penduduk.

Mungkin kita akan buat pelan utama keseluruhannya dalam 200 ekar dan kita akan beri saham kepada semua penduduk itu saham sama ada mereka pegang duit atau hartanah atau kedua-duanya sekali.

Mereka akan dapat bahagian masing-masing tanpa menjejaskan pemilikan Kampung Baru. Ianya akan terus dimiliki mereka, Insya-ALLAH.

Masalah pemilikan lagi lama kita tunggu, lagi teruk jadinya. Nanti ada berbelas nama dalam satu plot, macam mana pun kita kena selesaikan.

Mana yang kita tak dapat cari (tuan tanah), kita akan pegang sebagai satu amanah, di mana akan ada satu (pihak) macam pemegang amanah yang mana dia akan dipegang bagi pihak pemegang yang tak dapat dikesan lagi.

Itu kita akan kaji, jadi maknanya tak hilang apa yang menjadi hak mereka dan sebagainya.

Ini memang satu cabaran kerana kekayaan orang Melayu dan ekonomi orang Melayu terperangkap dalam Kampung Baru. Kalau boleh selesaikannya, saya rasa orang Melayu nanti akan dapat manfaatnya."

Agenda angkat usahawan Bumiputera

Dalam pada itu, Khalid juga akan memberi perhatian khusus dalam membantu golongan usahawan Bumiputera agar nasib mereka terbela dan tidak dipinggirkan.

Katanya, kementeriannya kini sedang fokus membantu untuk meningkatkan lagi taraf ekonomi golongan tersebut.

"Memang kita ada perancangan membantu golongan usahawan Bumiputera, setakat ini apa yang kita usahakan adalah hendak 'upgrade' gerai kepada sistem 'food truck' ini antaranya.

"Yang kedua kita ada Yayasan Wilayah di mana mereka ini ada program bantu usahawan, tetapi tanggungjawab membantu usahawan Bumiputera ini adalah di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan, jadi yang kita lakukan adalah bantu mereka.

"DBKL misalnya membantu dari segi menyediakan kemudahan tempat dan sebagainya, saya hendak maklumkan bahawa ada kompleks DBKL disewakan orang tertentu dan dia pula sewakan balik kepada peniaga Melayu dengan kadar yang tinggi.

"Jadi kita rasakan kes orang dapat keuntungan lipat kali ganda untuk diri tapi 'kenakan' peniaga Melayu walaupun penyewa itu orang Melayu sendiri, jadi ini kita kena rombak cari jalan penyelesiaan bagi mengurangkan beban peniaga Melayu," katanya.

Hidupkan budaya seni dalam kalangan anak-anak PPRR KL

Menyentuh mengenai antara pembaharuan yang akan dibawanya untuk anak-anak Kuala Lumpur, Khalid berkata, beliau berminat dengan projek yang sedang dilakukan NGO di mana mereka ini membawa budaya seni ke rumah PPR.

"Saya pernah hadir dalam program anak PPR ini mereka terlibat pementasan drama yang mana kita nak rakyat terdedah kepada seni.

"Yang penting kita bawa jiwa seni ke kawasan rumah PPR agar mereka ada pendedahan nampak hidup itu bukan terlalu keras sebaliknya ada seni lembutkan dan menenagkan jiwa," katanya.

Dari Pas ke Amanah, kemudian menjadi menteri

Sementara itu menyentuh mengenai karier politiknya, Khalid berkata, keadaan sekarang amat berbeza setelah beliau menjadi menteri dan mewakili suara kerajaan.

"Ia begini apabila kita jadi pembangkang dahulu, kita boleh timbulkan semua masalah yang dihadapi dan sebagai pembangkang apabila timbul masalah itu kita minta kerajaan tangani selepas itu kita bebas.

Tetapi sekarang ini kita kerajaan, apabila kita nampak semua masalah ini tidak boleh kita sekadar nyatakan itu ini masalahnya, tapi kita kena cari jalan penyelesian.

Itu yang menjadi cabaran yang lebih hebat, yang kita terpaksa hadapi ini maknanya kita jadi eksekutif kita kena laksanakan dasar-dasar yang akan menyelesaikan masalah yang kita hadapi.

Bukan sekadar menceritakan tentang masalah, tekan orang cari jalan penyelesian, ini yang saya rasa paling utama.

Kalau pembangkang seorang dapat maklumat dedah itu ini boleh tapi sekarang ini bila kita nak selesaikan masalah kita perlukan kerjasama dan sokongan daripada semua orang khususnya pegawai kerajaan.

Kita kena tahu prosesnya lepas itu kena kerjasama dengan pegawai kerajaan dan pegawai ini kena kongsi wawasan kita,” katanya.

INFO:

- Projek River of Life dijangka siap 2020 yang bakal menjadi tarikan baharu orang ramai.

- Seramai 11 Ahli Parlimen di bawah Wilayah Persekutuan menganggotai Majlis Menteri Wilayah Persekutuan bagi menjamin ketelusan dalam semua pembangunan di wilayah berkenaan.

- Tiga perkara utama bagi Khalid:

1. Pembangunan Kampung Baru

2. Selesaikan masalah kesesakan lalu lintas

3. Lakukan pembangunan teratur berdasarkan pelan, bukan ikut kehendak.