Suami isteri didakwa dera anak

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.
Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang suri rumah dan suaminya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth kerana dituduh mendera anak perempuan berusia 11 tahun di Flat Ampang Jajar, Permatang Pauh sejak pertengahan tahun lalu.

Bagaimanapun, suami isteri itu mengaku tidak bersalah atas dakwaan tersebut selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Tamil dan Bahasa Melayu di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.

Mengikut pertuduhan, T Lohkanayagi, 38, merupakan ibu tiri mangsa yang bertanggungjawab menjaga kanak-kanak itu didakwa menganiaya dan mengabaikan kanak-kanak itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Ampang Jajar Permatang Pauh di antara pertengahan 2019 hingga 9 Februari tahun ini pada jam 12.15 tengah hari.

Sementara itu, bapa kandung mangsa, P Chadrasegaran, 36, pula didakwa telah mengabaikan, mendedahkan dan membiarkan anak kandungnya didera sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi pada tarikh, tempat dan masa yang sama.

Kedua-dua dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendera.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya J G Kaameni manakala kedua dua tertuduh tidak diwakili peguam.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes dera: Ibu tiri, bapa direman tujuh hari

Artikel Berkaitan:

Terdahulu semasa prosiding, Kaameni tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua dua tertuduh.

Bagaimanapun, Lohkanayagi merayu kepada mahkamah agar diberikan jaminan dengan alasan masih mempunyai tujuh anak yang memerlukan jagaannya selain seorang yang masih kecil dan sakit.

Hakim kemudiannya membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah menetapkan 17 Mac ini untuk sebutan semula kes.

ARTIKEL BERKAITAN: Setahun derita didera ibu tiri

Pada Ahad, kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun ditemui dalam keadaan cedera teruk di bahagian mata dan muka dipercayai didera ibu tirinya.

Kanak-Kanak itu bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh Pertubuhan Malaysian Tamilar Kural selepas menerima laporan daripada penduduk di perumahan tersebut.