Selangor timbang guna kamera badan pada penguat kuasa PBT

Laporan Sinar Harian sebelum ini. Gambar kanan: Ng Sze Han
Laporan Sinar Harian sebelum ini. Gambar kanan: Ng Sze Han
A
A
A

SUBANG JAYA - Kerajaan Selangor akan mempertimbangkan penggunaan kamera badan bagi menjamin keselamatan anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan orang awam di negeri ini jika berlaku insiden di luar dugaan.

Mengulas insiden melibatkan anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang tular di media sosial sejak semalam, Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Negeri Selangor, Ng Sze Han berkata, penggunaan peralatan itu akan membantu siasatan dijalankan.

Menurutnya, menerusi penggunaan kamera badan, tugasan anggota penguat kuasa dapat dipantau.

“Kerajaan negeri mempertimbangkan penggunaan kelengkapan teknologi seperti webcam ini oleh anggota penguat kuasa untuk membenarkan rakaman serta pemantauan tugasan.

“Ia bagi menjamin keselamatan anggota penguat kuasa dan orang awam di samping memudahkan kerja siasatan sekiranya berlakunya insiden seumpama ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: ADUN kecewa insiden lelaki dikasari penguat kuasa MPSJ

Beliau berkata, kerajaan negeri kesal dengan kejadian tersebut dan beranggapan ia tidak akan berlaku sekiranya kedua-dua pihak bertenang.

Katanya, pihaknya kesal dengan tindakan orang awam yang cuba menghalang anggota penguat kuasa menjalankan tugas.

Artikel Berkaitan:

“Insiden ini amat mendukacitakan dan semakin menjadi-jadi ketika PBT sentiasa berusaha untuk menyelesaikan aduan diterima daripada orang ramai termasuk gesaan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan yang berlaku.

“Kerajaan negeri menyerahkan siasatan kes ini kepada Yang Dipertua MPSJ dan pihak polis. Orang awam dinasihati supaya membuat laporan kepada pengurusan PBT sekiranya timbul ketidakpuasan hati dan bukan mengasari anggota penguat kuasa.

“Anggota penguat kuasa pula perlu bertenang dan berhemah dalam apa jua keadaan dan melaporkan kepada pihak polis sekiranya dikasari sewaktu bertugas,” katanya.

Terdahulu tular satu video berdurasi 37 saat menunjukkan seorang lelaki 'mengacukan' payung kepada seorang anggota penguat kuasa MPSJ.

Tindakan itu dipercayai berlaku selepas anggota tersebut melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap kenderaan milik lelaki terbabit.

Anggota terbabit pada mulanya meminta supaya lelaki tersebut tidak menggunakan kekerasan, namun lelaki itu terus memukul penguat kuasa berkenaan.

Dipercayai berang dengan perbuatan lelaki itu, anggota penguat kuasa menumbuk dan menjatuhkannya ke lantai.

Video itu turut merakam lelaki terbabit cedera dan mengalami pendarahan di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian tersebut.