Ibnu Khaldun pelopor pemikiran moden dalam pelbagai bidang

MESKIPUN Ibnu Khaldun tiada lagi di dunia, namun peninggalannya masih digunapakai sehingga hari ini.
MESKIPUN Ibnu Khaldun tiada lagi di dunia, namun peninggalannya masih digunapakai sehingga hari ini.
A
A
A

NAMA Ibnu Khaldun antara cendekiawan Islam yang tidak asing lagi sekitar abad ke-14. Beliau melakar sejarah sendiri ketika zaman itu dengan kehebatannya sebagai seorang tokoh sejarawan dan pemikir Islam dalam bidang sosial, politik, pendidikan dan falsafah yang diiktiraf oleh seantero dunia.

Figura hebat kelahiran Tunisia pada 1332 Masihi itu diiktiraf sebagai pengasas kajian sejarah moden, sosiologi dan ekonomi.

Pandangan Ibnu Khaldun turut dikagumi bukan sahaja oleh tamadun Islam, tetapi juga dunia Barat. Tokoh sejarah berketurunan Yahudi, Profesor Emeritus Dr Bernerd Lewis menyifatkan Ibnu Khaldun sebagai ahli sejarawan Arab yang hebat pada zaman pertengahan.

Pemilik nama Abd Rahman bin Muhammad bin Muhammad dikenali sebagai Ibnu Khaldun sempena nama tempat kelahirannya iaitu di kawasan Khalduniyah di Tunisia.

Menyoroti historiografinya, ia agak menarik untuk disingkap dengan penuh keinsafan. Lelaki berketurunan Arab Yemen itu bukan sembarangan individu. Bapanya merupakan seorang sarjana. Kehandalan beliau dalam pelbagai bidang itu sebenarnya sudah terbukti sejak kecil lagi.

Masakan tidak, tokoh hebat itu sudah menghafaz al-Quran sejak kecil, selain menguasai pelbagai bidang ilmu pada usia belasan tahun. Ketekunannya menggali ilmu fardu ain dan kifayah memang sudah dilentur pada usia yang muda.

Ketika berusia18 tahun, ilmuan genius itu terpaksa berhenti belajar gara-gara Tunisia ditimpa wabak taun. Beliau bagaimanapun kembali melanjutkan pengajian tinggi dengan guru dan ulama terkenal ketika tinggal di Fez, Maghribi.

Sekitar tahun 1375, Ibnu Khaldun berhijrah ke Granada, Sepanyol. Sekali lagi beliau merantau lantaran keadaan politik di negara tersebut tidak stabil. Beliau ke Algeria, Bougie dan akhir sekali ke Mesir yang menjadi destinasi akhirnya.

Artikel Berkaitan:

Tokoh ilmu, pemikiran yang hebat

Biarpun merentas pelbagai ranjau dan liku ketika menuntut ilmu, namun ia tidak 'merencatkan' pemikiran Ibnu Khaldun.

Ilmu masyhur itu merupakan tokoh penting yang mampu menganalisis tamadun dari segi formula, faktor kegemilangan dan kejatuhannya. Beliau juga berupaya memberi tafsiran sejarah berdasarkan ekonomi, psikologi, sosiologi, alam sekitar dan geografi.

Ibnu Khaldun bukan sekadar pemikir semata-mata. Sebaliknya, gagasan fikrahnya itu turut diaplikasikan ketika diberi tanggungjawab menyandang jawatan penting dalam negara.

Menurut riwayat yang masyhur, figura hebat berkenaan dikatakan berkhidmat selama lebih 20 tahun untuk beberapa negara antaranya Tunisia, Maghribi, Andalus dan di Timur Tengah.

Kewibawaannya menonjol apabila dilantik menjadi kadi di Mesir. Figura hebat itu mampu mentadbir dengan baik. Kebijaksanaannya itu juga mendorong Sultan Mesir ketika itu, Sultan Burquq memberikan gelaran Waliyuddin kepada Ibnu Khaldun.

Ketokohannya begitu terserlah kerana berjaya memajukan konsep ekonomi, perdagangan, kebebasan dan terkenal dengan hasil kerjayanya dalam pelbagai bidang.

Ternyata beliau dikurniakan kebolehan yang bukan calang-calang. Ibnu Khaldun begitu masyhur apabila idea yang dibangunkannya berkaitan dengan peranan kerajaan diguna pakai sehingga ke hari ini.

Menurut beliau, tugas kerajaan hanya terhad kepada mempertahankan rakyatnya daripada keganasan, melindungi harta persendirian, menghalang penipuan dalam perdagangan dan menguruskan penghasilan wang.

Ibnu Khaldun juga terkenal sebagai pelopor kepada pemikiran moden seperti sejarah, politik, ekonomi, sosiologi dan pendidikan. Maka, tidak hairanlah beliau digelar sebagai bapa sejarah kebudayaan dan sains sosial moden.

Dari segi ekonomi, Ibnu Khaldun ialah individu penting yang memajukan teori nilai dan hubung kait dengan tenaga buruh. Beliau juga memperkenalkan pembahagian tenaga kerja dan menyokong pasaran terbuka.

Selain itu, beliau antara orang yang menyedari kesan dinamik permintaan dan bekalan ke atas harga serta keuntungan, menolak cukai yang tinggi dan menyokong perdagangan bebas dengan orang asing. Beliau percaya kepada kebebasan memilih. Ia bagi membenarkan rakyat bekerja keras untuk diri mereka.

Sesungguhnya, keintelektualan formasi pemikiran Ibnu Khaldun banyak diaplikasikan dalam kehidupan masyarakat moden yang mahu mengimbangi antara pembangunan fizikal dan spiritual.

Biarpun tokoh hebat itu sudah meninggal dunia pada 1406 Masihi ketika berusia 76 tahun di Kaherah, Mesir, namun warisan peninggalannya memberi 1,001 rahmat kepada seluruh dunia.

PROFIL

Nama: Abd Rahman bin Muhammad bin Muhammad

Gelaran: Ibnu Khaldun

Kepakaran: Sosial, sejarah, politik, pendidikan, ekonomi, falsafah, psikologi, sosiologi, alam sekitar dan geografi

Tahun kelahiran: 1332 Masihi

Tahun kematian: 1406 Masihi

Karya agung:

- Karya pertama Ibnu Khaldun ialah al-Ibar.

- Kitab al-Muqaddimah merupakan jilid pertama kitab al-Ibar yang mempunyai tujud jilid.

- Ketinggian pemikiran dan ilmu beliau dalam kitab al-Muqaddimah telah diiktiraf oleh sarjana Muslim dan Barat.

- Kitab itu menjadi kemuncak karya pemikiran dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan dan mempunyai huraian jelas terutama hukum-hukum berkaitan ilmu sains sosial atau sosiologi.