DAP tentukan tender DBKL?

Khalid ketika bercakap dalam program Bicara Minda, di sini, semalam. - Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Khalid ketika bercakap dalam program Bicara Minda, di sini, semalam. - Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menafikan dakwaan bahawa kononnya kementeriannya mengikut telunjuk DAP, terutamanya dalam isu pemberian tender dan projek-projek di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sebaliknya kata Khalid, bukan hanya DAP tidak menguasai mana-mana projek di bawah DBKL, malah parti komponen PH juga tidak terlibat secara langsung dalam pemberian tender DBKL.

“Dakwaan mengatakan DAP menguasai projek, ia tidak benar. Tender ditawarkan DBKL masih lagi mengikut kategori seperti Bumiputera, tender terbuka dan sebagainya,” katanya semasa menjawab soalan penonton program Bicara Minda bersamanya di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini, semalam.

Sebelum itu, Khalid diajukan soalan benarkah parti DAP ketika ini menguasai tender DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan mengikut telunjuk parti itu.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, pihaknya sedang mencuba untuk memecahkan penguasaan kontraktor tertentu ke atas tender sejak sekian lama.

“Masalahnya kita nak pecahkan penguasaan atas tender oleh kontraktor lama dan menguasainya atas sebab tertentu. Macam sebelum ini, saya suruh nilai sekali lagi sebab ada benda tak betul.

“Selama ini tender dikuasai Melayu ramai, syarikat lama yang kuasai. Kita kena pecahkan monopoli ini. Ini lah matlamat saya,” katanya.

Tambah beliau dalam isu ini, ada kontraktor berkenaan yang memiliki sehingga sepuluh buah syarikat di bawahnya.

Artikel Berkaitan:

Malah katanya, langkah penelitian berkenaan perlu dibuat bagi melihat semula kos-kos yang dikenakan kontraktor terlibat.