RM300,000 bantu pesawah di Kedah dan Pulau Pinang

Phahrolrazi (empat dari kiri) menyerahkan cek bantuan diesel berjumlah RM200,000 dan RM100,000 kepada pesawah di Kedah dan Perlis pada Program Bantuan Diesel Nafas di PPK Tajar, Kedah semalam.
Phahrolrazi (empat dari kiri) menyerahkan cek bantuan diesel berjumlah RM200,000 dan RM100,000 kepada pesawah di Kedah dan Perlis pada Program Bantuan Diesel Nafas di PPK Tajar, Kedah semalam.
A
A
A

ALOR SETAR - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) memperuntukkan sebanyak RM300,000 bagi Program Bantuan Diesel dalam membantu pesawah di Kedah dan Pulau Pinang yang terjejas akibat musim kemarau.

Pengerusi Nafas, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), peruntukan berkenaan akan disalurkan kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di kedua-dua negeri sekali gus membantu pesawah yang terjejas dengan membekalkan diesel untuk kerja-kerja mengepam air ke petak sawah.

“Sebanyak RM200,000 peruntukan bantuan diesel itu akan diagihkan kepada pesawah di Kedah, manakala RM100,000 lagi diperuntukkan kepada pesawah di Pulau Pinang.

“Kemudian, PPK akan mengagihkan peruntukan bantuan diesel kepada pesawah yang mengusahakan tanaman padi mengikut permintaan dan keperluan mereka,” katanya pada sidang akhbar Program Bantuan Diesel di PPK Tajar di sini semalam.

Menurutnya, penyampaian sumbangan diadakan susulan lawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninjau keadaan sawah kering akibat musim kemarau di negeri di utara semenanjung baru-baru ini.

Katanya, Nafas telah menggerakkan peruntukan bantuan dengan segera bagi meringankan kos operasi pesawah yang mengusahakan tanaman padi terutama pada musim kemarau.

“Nafas berharap bantuan diberikan dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi menyelesaikan masalah sawah kering yang dihadapi pesawah agar tidak menjejaskan hasil tanaman sekali gus memberi kesan terhadap pendapatan mereka,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menyerahkan peruntukan bantuan diesel yang akan disalurkan kepada pesawah terlibat mengikut budi bicara PPK untuk membantu mereka yang terjejas di luar dan kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, pam air diperlukan untuk kaedah penanaman komersial bagi memastikan air dapat dibekalkan kepada tanaman mencukupi.

“Lazimnya, penggunaan pam air yang menggunakan minyak diesel sebagai bahan bakar sangat diperlukan terutama pada musim kemarau,” katanya.