Empower ECER terbukti bantu rakyat

Kesemua peserta yang diraikan bergambar kenangan bersama-sama Ahmad dan Baidzawi sejurus majlis tamat.
Kesemua peserta yang diraikan bergambar kenangan bersama-sama Ahmad dan Baidzawi sejurus majlis tamat.
A
A
A

BACHOK - Kerajaan Persekutuan menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) melaksanakan pelbagai inisiatif dan program pembangunan modal insan untuk meningkatkan kesejahteraan golongan B40 termasuk komuniti orang asli.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, sejak program empower ECER dilancarkan di Kelantan pada tahun 2013 lebih 25,000 peserta yang sebahagian besarnya daripada kumpulan B40 mendapat manfaat.

Menurutnya, pada tahun 2019 seramai 4,738 peserta menerima manfaat dan daripada jumlah itu, sejumlah 910 orang berjaya menjadi usahawan yang memperoleh pendapatan purata antara RM1,000 ke RM10,000 sebulan.

“Program-program pembangunan modal insan ECERDC bersifat inklusif seperti empower ECER dan usahawan ECER kesanan dalam membantu meningkatkan taraf hidup rakyat menerusi peningkatan tahap pendidikan dan kursus kemahiran bernilai tinggi.

“Ia dilakukan menerusi program pengukuhan akademik dan kursus peningkatan kemahiran komprehensif yang dipacu industri bagi meningkatkan keupayaan rakyat memperoleh pendapatan kukuh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Konvokesyen dan Penyampaian Anugerah empower ECER Kelantan 2019 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMK, Profesor Ts Dr Zaliman Sauli.

Seramai 18 peserta menerima Anugerah Usahawan empower ECER pada majlis yang disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.Ahmad turut menyampaikan Anugerah Juara empower ECER kepada 32 peserta Latihan Akademik empower ECER yang mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR 2019.

Artikel Berkaitan:

Turut disampaikan ialah Anugerah Usahawan Jajahan empower ECER 2019, Anugerah Peserta Teknikal Cemerlang empower ECER 2019, Anugerah Khas Usahawan empower ECER, Anugerah Usahawanita empower ECER, Anugerah Usahawan Muda empower ECER, Anugerah Usahawan Gemilang empower ECER dan Anugerah Juara empower ECER 2019.

Baidzawi berkata, ECERDC memberikan anugerah utama iaitu Anugerah Usahawan Gemilang empower ECER kepada Marwani Abdullah yang mengusahakan Mini Pizza Muslim.

“Marwani dahulunya ialah suri rumah tetapi kini menguruskan sebuah kantin di Kuala Krai dengan bantuan lapan orang pekerja yang juga ibu tinggal. Pendapatannya kini melebihi RM30,000 sebulan,” katanya.

Tambahnya, ECERDC turut menumpukan pembangunan sosioekonomi orang asli yang mana menerusi Latihan Kemahiran Keusahawanan empower ECER di Kampung Sungai Rual, Jeli berjaya meningkatkan taraf hidup serta pendapatan 51 kumpulan tersebut.