Farke cabar pemain lebur ego Liverpool

Farke
Farke
A
A
A

PENGENDALI Norwich City, Daniel Farke mencabar pemainnya untuk cuba menundukkan Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Carrow Road pada awal pagi Ahad ini.

Menurutnya, Norwich yang berada di kedudukan tercorot liga mempunyai kualiti untuk 'menyakiti' sekali gus mengejutkan pasukan pendahulu EPL itu.

"Jika pemain bermain dengan cemerlang dalam perlawanan tersebut kita akan mampu untuk mengejutkan mereka dan mencipta sesuatu.

"Segalanya terpulang kepada pemain dan saya mencabar mereka untuk membuktikan kemampuan dalam perlawanan tersebut," katanya.

Bagaimanapun, Farke tetap realistik dan mengakui ia perlawanan yang cukup sukar buat pasukannya apatah lagi ia seperti pertarungan dua darjat memandangkan The Reds kini menerajui EPL dan Norwich selaku pasukan yang terperosok di kedudukan terbawah liga.

"Sudah tentu Liverpool merupakan pasukan terbaik di dunia ketika ini. Mereka mempunyai sifat tamak dan sempurna di semua posisi.

"Jurgen Klopp telah melakukan tugas yang baik membawa mentaliti positif dalam pasukan sehingga mereka menjadi sebuah pasukan yang kuat. 24 kemenangan dan satu seri ketika ini adalah pencapaian yang cukup cemerlang buat Liverpool," katanya.

Dalam pada itu, Farke turut mengharapkan pemainnya bangkit meraih kemenangan dalam 13 perlawanan terakhir untuk mengeluarkan diri daripada zon penyingkiran.

Artikel Berkaitan:

"Kami tahu bahawa ia akan menjadi tugas besar dan akan menjadi satu keajaiban jika kami berjaya mencatatkan kemenangan dan menjauhkan diri daripada zon penyingkiran.

"Dalam bola sepak ini tiada yang mustahil dan anda juga cuba untuk memenuhi perkara-perkara yang tidak realistik. Kami bekerja dan penuh keyakinan untuk memastikan ia direalisasi," katanya.