Haram sambut Hari Kekasih, elak beri hadiah

MENYAMBUT Hari Kekasih merupakan budaya agama lain yang bercanggah dengan syarak.
MENYAMBUT Hari Kekasih merupakan budaya agama lain yang bercanggah dengan syarak.
A
A
A

HARI ini merupakan 14 Februari iaitu tarikh yang sinonim dengan Hari Kekasih. Namun, kita dilarang untuk menyambutnya kerana ia ditegah di sisi agama Islam tidak kiralah apa jua alasannya.

Bahkan, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Hal itu kerana ia mempunyai unsur-unsur agama lain. Amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Masakan tidak, lihat saja apa yang berlaku setiap kali tibanya Hari Kekasih. Ada segelintir anak muda tanpa segan silu berseronok di kelab dan berbuat maksiat di bilik-bilik hotel tanpa sekelumit rasa bersalah dalam diri.

Bukan mahu membuat kesimpulan mudah, namun itulah yang berlaku dalam dunia realiti. Jika tidak, tiadalah Ops Valentine yang boleh dikatakan dilaksanakan hampir saban tahun, biarpun ada yang mendakwa rentak operasi seperti itu semakin perlahan sejak dua tahun kebelakangan ini.

Hakikatnya, Hari Kekasih sebenarnya banyak memberikan natijah buruk bukan sahaja kepada diri kita, tetapi generasi baharu dan agama Islam itu sendiri.

Ada sebab kenapa ia diharamkan oleh agama Islam. Apakah sebab kepada pengharaman itu? Bagaimana pula hukumnya apabila suami isteri memberikan hadiah kepada pasangan pada hari berkenaan?

Unsur agama lain

Bagi mendasari topik berkenaan, Sinar Islam mendapatkan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid. Jelas beliau, sejarah Hari Kekasih atau Valentine's Day tidak ada dalam Islam. Sebaliknya, amalan budaya dan hasrat perayaan itu mempunyai unsur-unsur agama lain yang bercanggah dengan agama suci yang kita anuti.

Artikel Berkaitan:

MOHD TAMYES
MOHD TAMYES

Menelusuri historiografinya, katanya, Valentine's dikatakan berasal daripada nama seorang paderi, St Valentino yang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella di Sepanyol.

"Bahkan, St Valentino juga merupakan antara orang terpenting yang menghancurkan tamadun Islam di Sepanyol. Oleh itu, Ratu Isabella telah menetapkan 14 Februari sebagai hari mengingati kemenangan Kristian terhadap Islam," ujar beliau ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp baru-baru ini.

Justeru, agamawan itu menegaskan, barang siapa yang merayakan Hari Kekasih, mereka seolah-olah bergembira dan merestui ke atas kekalahan orang Islam di Sepanyol.

"Dalam Islam, tidak ada hari tertentu bagi meraikan kekasih atau kasih sayang. Islam sangat menitikberatkan soal kasih sayang. Setiap hari sebenarnya adalah hari kasih sayang dalam Islam.

"Cuma, Islam menolak konsep kasih sayang yang terkandung dalam Hari Kekasih kerana ada unsur-unsur ritual keagamaan yang diamalkannya yang boleh menggugat akidah Islam," jelas beliau.

Rosakkan generasi

Pada sama sama, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor itu menegur sikap segelintir anak muda dan golongan yang meraikan Hari Kekasih dengan perbuatan yang dilarang oleh syarak.

BAGI pasangan yang sudah berkahwin, mereka boleh mempertautkan kasih sayang dengan perkara yang tidak bercanggah dengan agama Islam dan bukannya menyambut Hari Kekasih.
BAGI pasangan yang sudah berkahwin, mereka boleh mempertautkan kasih sayang dengan perkara yang tidak bercanggah dengan agama Islam dan bukannya menyambut Hari Kekasih.

Perbuatan sedemikian jika tidak dibendung, kata beliau, akan merosakkan generasi umat Islam pada masa akan datang.

"Ya, memang Islam sangat menggalakkan umatnya supaya berkasih sayang antara satu sama lain. Akan tetapi, untuk meluahkan kasih sayang antara seorang lelaki dan seorang perempuan, perlu melalui saluran dibenarkan oleh syarak.

"Ia bukannya menggalakkan kepada perkara yang mendorong atau merangsang perkara yang dilarang dan berbentuk maksiat," jelas beliau.

Bagaimana pula jika seorang individu itu berhasrat untuk memberikan hadiah kepada seseorang pada 14 Februari bersempena dengan Hari Kekasih? Jawab Mohd Tamyes, perbuatan itu tidak dibenarkan kerana ia seolah-olah meraikan konsep yang dibawakan oleh Hari Kekasih.

"Kepada pasangan suami isteri, mereka digalakkan untuk memberi hadiah kepada pasangan masing-masing pada bila-bila masa sahaja. Ia dengan syarat asalkan tidak diniatkan dengan tarikh atau sempena dengan sesuatu yang dilarang oleh agama Islam," tegas beliau.

Beliau turut mengingatkan kembali keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bertarikh 21 Februari 2006 yang memutuskan, amalan merayakan Valentine's Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam.

"Perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur dan amalan yang bercampur dengan perbuatan maksiat yang bercanggah dan dilarang oleh Islam.

"Orang Islam yang bertindak dengan cara menghina, mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan itu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) Tahun 1995," jelas beliau.

Buka ruang zina

Bagi mendapatkan kupasan lanjut tentang sambutan Hari Valentine, Sinar Islam mewawancara pendakwah Ustaz Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli atau dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Faiz.

PU FAIZ
PU FAIZ

Jelas beliau, sambutan Hari Kekasih mempunyai pelbagai versi sejarah tentangnya. Pun demikian, semua historiografi berkenaan merupakan budaya orang bukan Islam yang jauh menyimpang daripada ajaran Islam.

"Ada yang menyatakan, Hari Kekasih versi asal daripada agama Pagan dan satu versi lagi daripada agama Kristian. Namun, rata-ratanya berkaitan kebudayaan. Tentatif program berkenaan membawa kepada pergaulan bebas, seks sebelum nikah, pergaulan dengan bukan mahram, (aktiviti) memabukkan dan sebagainya.

"Semua isi kandungan program itu adalah haram. Ia haram bukan kerana namanya Valentine. Ini kerana, hukum sesuatu terbina berdasarkan kandungan program, bukan nama (program tersebut). Agama Islam tidak mengingkari sesuatu yang baik yang dikerjakan pada zaman sebelum (kedatangan) Islam," katanya ketika dihubungi Sinar Islam baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, menyambut Hari Kekasih dengan pengisian program maksiat hakikatnya membuka ruang-ruang zina seandainya ia diraikan oleh pasangan bukan mahram, terang beliau.

Sebagai umat Islam, jelas beliau, wajib bagi kita untuk menjauhi zina.

Firman ALLAH SWT: "Dan jangan kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk." (Surah al-Isra', ayat 32)

Bagi pasangan suami isteri pula, jelas PU Faiz, jika mereka menguatkan lagi kasih sayang tanpa pergaulan bebas, aktiviti memabukkan dan tidak melakukan apa yang dilarang oleh syarak, ia tiada masalah.

"Bahkan, Islam sebenarnya amat menganjurkan umatnya sentiasa berkasih sayang pada setiap masa. Ia bukan hanya pada 14 Februari sahaja, tetapi pada sepanjang masa dengan pengisian yang tidak bertentangan dengan syarak," katanya.

Menurut Ketua Tanfiziyah Pertubuhan Nahdlatul Ulama Malaysia itu, dalam sirah nabi, Islam sebenarnya mempunyai 'Hari Valentine' sendiri iaitu hari pembebasan Kota Suci Makkah yang mana ia terjadi pada bulan Ramadan tahun 630 Masihi.

"Ketika itu, Nabi Muhammad SAW berserta 10,000 pasukan bergerak dari Madinah menuju ke Makkah. Mereka kemudian menguasai Makkah secara keseluruhan tanpa pertumpahan darah sedikit pun. Bahkan, baginda SAW mengampuni orang yang sebelum ini pernah mengusirnya dari tanah airnya sendiri.

"Ternyata keburukan dan kekasaran yang pernah diturunkan kepada nabi dibalas dengan cinta dan kasih sayang. Dalam erti kata lain, kita sebagai umat Islam dituntut untuk saling mengasihi dan menolong sesama kita tanpa perlu menunggu momen tertentu," jelas beliau.

Dalam Islam, kita diharuskan menyayangi golongan muda dan menghormati mereka yang tua pada setiap hari, terang PU Faiz. Pada masa sama, Islam tidak melarang adanya tradisi tahunan.

"Contohnya, pendakwah pada zaman dahulu mengubah pengisian program mungkar kepada yang makruf sepertimana amalan 'sesaji' yang kini ditukar dengan tahlil atau doa selamat," jelas beliau.

Dalam pada itu, PU Faiz turut menitipkan pesanan kepada pasangan yang belum berkahwin agar mengelakkan diri daripada menyambut Hari Kekasih. Sebaliknya, sambutlah kasih sayang dengan ibu bapa atau adik-beradik.

Pupuk kasih sayang ikut acuan Islam

Agama Islam menganjurkan umatnya untuk membajai nilai perasaan kasih sayang dalam seluruh ahli keluarga, sahabat, jiran tetangga termasuk juga organisasi dan komuniti masyarakat kita.

Perbuatan atau usaha tersebut perlulah mengikut landasan yang telah ditetapkan oleh syarak. Demikian kata Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Ustazah Siti Fatahiyah Mahamood.

USTAZAH SITI FATAHIYAH
USTAZAH SITI FATAHIYAH

Ujar beliau, kita diciptakan oleh ALLAH SWT di muka bumi ini semata-mata untuk beribadah kepada-NYA. Maka, seharusnya kasih sayang yang disuburkan sepanjang menjalani kehidupan di dunia ini perlu dilakukan atas dasar melaksanakan sesuatu kebaikan yang disuruh-NYA.

Elakkan diri daripada terjebak dengan perkara maksiat atau dimurkai-NYA, jelas beliau.

"Hubungan kasih sayang antara lelaki dan perempuan yang cuba dibina dengan penuh kemesraan dan romantis sebelum ikatan perkahwinan yang sah adalah dilarang. "Apatah lagi andai ada hubungan mesra yang intim ini yang berlaku kepada lelaki dan lelaki atau perempuan dan perempuan secara songsang, ia turut diharamkan," katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak beriman (sempurna iman) seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri.” (Riwayat al-Bukhari)

Ustazah Siti Fatahiyah yang juga Pengerusi Dewan Wanita, Majlis Dakwah Negara Peringkat Negeri Selangor itu menegaskan, konsep kasih sayang dalam Islam menekankan kejujuran dan keikhlasan dengan menetapkan niat mengasihi seseorang kerana ALLAH SWT.

"Ia bukan semata-mata untuk kepentingan peribadi atau berniat jahat di sebalik mempamerkan kasih sayang tersebut," katanya.

Di samping menyuburkan kasih sayang yang dibina, beliau mengingatkan agar jangan meruntuhkan hubungan kasih sayang dengan orang yang lain sehingga memutuskan silaturahim tersebut.

Justeru, ujar beliau, binalah kasih sayang dalam hidup mengikut acuan yang ditetapkan oleh Islam agar hidup lebih diberkati dan diredai oleh ALLAH SWT.

"Jangan leka dibawa arus kehidupan yang kian mencabar keimanan kita ketika ini. Jangan pula menunggang agama dalam mencipta bahagia di dunia. Dalam sibuk mencipta bahagia, jangan pula menempah derita kepada orang lain dengan memutuskan silaturahim.

"Jom kita kuatkan iman dengan mengawal debaran dalam hati atau 'kocakan' di minda kita agar kasih sayang yang kita bina dapat membawa kita ke syurga, bukan menghumban kita ke neraka," ujar beliau mengakhiri perkongsian ilmunya.