Hilang keikhlasan punca rapuhnya perpaduan

Program Kaligrafi anjuran Pemuda Ikatan baru-baru ini.
Program Kaligrafi anjuran Pemuda Ikatan baru-baru ini.
A
A
A

KATA-KATA Bapa Kemerdekaan yang juga Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra wajar dijadikan sebagai ‘kiblat perpaduan’ negara.

Ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Shahir Adnan berkata, amanat Tunku Abdul Rahman begitu jelas dalam menentukan hala tuju negara dan rakyat.

Menurutnya, dalam mengekalkan perpaduan, pemimpin yang terdiri daripada ketua parti politik perlu menjadi ‘pemandu arah’ kepada masyarakat.

Atas peranan itu, maka Ikatan meletakkan asas tersebut sebagai satu tanggungjawab dan golongan belia sayap Ikatan iaitu Pemuda Ikatan menjadi antara yang bergerak seiring dengan asas tersebut.

“Tidak dinafikan Malaysia kini dalam keadaan yang perpaduannya dilihat semakin rapuh dan membimbangkan.

“Bercakap mengenai punca, kita rujuk kembali kepada amanat Tunku Abdul Rahman, perkataan ikhlas itu amat penting. Terjemahan ‘keluarga’ adalah merangkumi pelbagai etnik dan agama di Malaysia.

“Kenapa perpaduan makin rapuh? Sebab keikhlasan itu hilang, banyak prasangka buruk sesama rakyat dan polemik politik. Segelintir ahli politik telah menggunakan isu perkauman untuk survival politik sehingga mencetuskan rasa prasangka terhadap rakyat,” katanya kepada Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kempen Uninstall Kebencian: Reboot #MalaysiaHarmony yang digerakkan oleh Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Shahir Adnan
Shahir Adnan

Shahir yang berasal dari Kota Bharu Kelantan berkata, kempen tersebut amat bermanfaat untuk rakyat dan ahli-ahli politik.

Ujarnya, masyarakat perlu mengimbau kembali sejarah di mana penubuhan Malaysia adalah berasaskan perpaduan.

“Di mana setiap kaum bersatu dengan penubuhan UMNO dan Perikatan untuk menentang Malayan Union dan menuntut kemerdekaan. Jadi sebenarnya perpaduan telah berlaku sejak sebelum berdeka lagi,” katanya.

Mengulas lanjut, Syahir berkata, Malaysia perlu berpegang kepada tiga perkara yang dalam memacu perpaduan rakyat iaitu dasar pendidikan, ekonomi dan pemerintahan.

Katanya, dasar pendidikan seharusnya diubah agar semua sekolah termasuk sekolah persendirian gunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan pada masa sama bahasa asas, seperti bahasa Mandarin dan Tamil juga diperkenalkan di sekolah.

“Jika peringkat pendidikan kita gunakan bahasa yang selaras, maka asimilasi dah berlaku. Bagi silibus peperiksaan juga perlu gunakan silibus kokurikulum yang sama peperiksaan juga perlu standard yang sama. Jadi tiada pandangan untuk bawa silibus dari luar,” katanya.

Menurutnya, dasar ekonomi juga boleh menjadi penyebab utama untuk membentuk perpaduan dalam kalangan rakyat gagal.

“Perpaduan tidak akan berlaku jika jurang ekonomi itu besar. Kita perlu rapatkan jurang di mana hasil negara dibahagi secara adil.

“Adil bukan bukan sama rata, tapi untuk seimbangkan agar setiap kaum berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah,” katanya.

Dalam masa sama, katanya, bagi dasar pemerintahan dan politik perlu elak daripada memainkan isu-isu sensitif membabitkan perlembagaan negara, isu seperti bangsa Melayu, raja-raja Melayu dan isu bahasa.

Hukuman bukan penyelesaian

Syahir berkata, walaupun ada undang-undang di negara ini yang boleh digunakan bagi menghukum pihak yang mencetuskan isu perkauman, ia tidak menjadi penyelesaian total.

Sebaliknya, penyelesaian sebenar adalah perlu kembali kepada perkara pokok iaitu melibatkan tiga dasar itu.

Katanya, beliau percaya sesebuah tamadun dibina berdasarkan pembangunan fizikal dan pembinaan negara bangsa.

“Untuk membina perpaduan, kedua-dua ini penting. Negara tidak dapat bergerak menuju ke hadapan untuk menjadi sebuah negara maju dan progresif tanpa perpaduan.

“Membina perpaduan bukan perkara mudah, ia perlu lalui jalan berliku. Tapi saya yakin kalau semua bersatu kita mampu untuk jayakan perpaduan Malaysia,” katanya.

Ikatan adalah parti politik menerapkan konsep bangsa Malaysia yang membela nasib semua kaum.
Ikatan adalah parti politik menerapkan konsep bangsa Malaysia yang membela nasib semua kaum.

Syahir yang merupakan graduan Geo Fizik daripada Colorado School of Mines, Amerika Syarikat berkata, lebih 90 peratus ahli Ikatan terdiri daripada golongan profesional.Sebagai pembangkang, katanya, barisan Ikatan mahu melihat kerajaan memainkan peranan berkesan untuk rapatkan hubungan antara kaum.

Dalam masa sama, beliau berkata, Ikatan tetap berperanan sebagai sebuah parti politik menerapkan konsep bangsa Malaysia.

“Ikatan melaksanakan pelbagai pendekatan dengan kerjasama pelbagai NGO daripada pelbagai kaum,” kata beliau.