Pemimpin kerana berjawatan

A
A
A

ANTARA jawatan dan seorang insan perlu dibeza. Secara naluri dan fitrah, seorang insan semua sama dengan insan yang lain. Perlu makan, perlu tidur perlu kasih sayang, perlu maruah. Mungkin berbeza fizikal. Ada yang cacat anggota dan kurang upaya.

Mungkin kerana gara-gara manusia sendiri yang merosakkan fitrah alam maka lahir manusia yang kurang upaya seperti rencat otak, cacat fizikal akibat kesan radiasi dan nuklear serta dicemari bahan kimia. Apapun anugerah ALLAH kepada pelbagai jenis keupayaan manusia punya hikmah belaka, buat yang dicipta mahupun buat manusia yang sempurna tubuh badannya.

Namun jawatan ialah suatu kedudukan yang ditampilkan untuk membawa status tertentu dan pertanggungjawapan tertentu mengikut jawatan yang disandang. Manusia mewujudkan jawatan yang pelbagai. Layanan tidak serupa bagi mereka yang berjawatan mengikut tinggi dan rendahnya. Dalam skema jawatan di pelbagai sektor dan peringkat, sama ada jawatan rendah mahupun tinggi, akan punya keistimewaan masing-masing.

Setiap insan pada hakikatnya adalah sama di sisi ALLAH SWT. ALLAH Maha Tahu lebih atau kurang seseorang insan itu. Tetapi dengan ilmu yang benar dan sahih darjat seorang manusia melebihi yang lain kerana ia tahu membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Dengan ilmu setiap orang menjadi lebih arif akan kehidupan dan tahu bagaimana menjalani kehidupan dengan cara yang betul iaitu mengikuti sibghahtallah (acuan ALLAH).

Jelas ALLAH melihat manusia bukan kepada rupa paras tetapi kepada budi dan akhlak.

Namun sebaliknya di kaca mata manusia, insan sering dimuliakan dan disanjung kerana jawatan dan apa yang dimilikinya. Sama ada jawatan dalam kerajaan atau swasta atau dalam masyarakat sivil atau politik. Dengan jawatan terdapat keistimewaan. Dengan gelaran banyak pintu akan terbuka. Segala-galanya dilihat istimewa pada pemimpin yang berjawatan.

Ramai yang terpukau dan sangat mahu dilihat berdamping dengan pemimpin berjawatan tinggi. Harganya diukur pada jawatan bukan kerana kehebatan peribadi seorang pemimpin. Jawatanlah yang diberi nilai dan kerana jawatanlah orang saling menuntut, bersaing dan bermusuhan.

Akan tetapi bila jawatan sudah tiada, seorang insan akan kembali seperti insan lain. Tidak ada yang sudi berdamping, tidak juga yang mahu melayani. Kembalilah ia menjadi seorang biasa yang dahulu bila bergelaran sangat disanjung.

Artikel Berkaitan:

Keistimewaan

Maka selepas jawatan gugur maka segala keistimewaan juga gugur. Mungkin masih dihormati sedikit tetapi segala keistimewaan bukan lagi untuknya.

Dengan sebab itu perlu diinsafi betapa istimewa sekalipun seseorang itu menduduki jawatan sebagai seorang pemimpin politik atau birokrasi, ia bukan kekal. Dia perlu sedar. Tumpuan bukan lagi kepadanya. Keistimewaan hanya untuk yang berjawatan.

Dalam dunia yang bergelut sengit dalam persaingan politik untuk membolot kekayaan, kini jawatan yang tinggi seperti wakil rakyat, ahli Parlimen atau ahli Dewan Negeri atau Dewan Negara serta jawatan di peringkat birokrasi awam dan politik mahupun dalam dunia korporat, sangat dighairahkan oleh banyak pihak untuk mendapat layanan istimewa sebagai VVIP.

Status seorang pemimpin yang berkedudukan VIP atau VVIP tidak kekal. Sampai masanya ia akan beralih kepada orang lain. Hidup berputar kembali kepada menjadi orang biasa.

Soalnya menjadi pemimpin kerana jawatan inilah yang digilai oleh banyak pihak. Sehingga sanggup melakukan sesuatu di luar akhlak malah di luar undang-undang. Asalkan dapat memposisikan diri di jawatan tertinggi. Matlamat dan pertanggungjawapan sebagai pemimpin tidak terlalu dikisahkan. Kerana menjadi manusia bergelaran dan berjawatan itulah matlamatnya. Dengan berjawatan ertinya membuka pintu yang luas untuk meraih peluang memperkayakan diri.

Pemimpin harus membina kriteria akhlaknya lebih daripada mendaki tangga jawatan tinggi. Kerana jaminan seorang pemimpin yang disenangi rakyat bukan pada jawatan yang disandang tetapi kerana peribadi pemimpin yang abadi di sanubari rakyat.