Bayi tercampak dan pelaksanaan CRS

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

NEGARA dikejutkan dengan insiden kemalangan sehingga menyebabkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun tercampak keluar dari kereta dalam satu kemalangan di Kilometer 235.5 Lebuhraya PLUS Senawang-Ayer Keroh (arah utara).Ketika kejadian, mangsa berada di pangkuan ibunya di tempat duduk penumpang bahagian depan sebelum tercampak keluar di tengah jalan akibat kemalangan. Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kaki serta muka.

Apabila kita melihat kejadian seperti itu, ramai yang mengaitkan kepentingan penggunaan Kerusi Keselamatan Kanak-kanak (CRS) di dalam kenderaan persendirian.

Namun, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook meminta semua pihak tidak lagi mempersoalkan keperluan penggunaan CRS susulan kemalangan terbabit.

Beliau berharap kejadian tersebut menjadi pengajaran kepada semua mengenai kepentingan kerusi keselamatan itu.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan penggunaan CRS di dalam kenderaan persendirian, yang diwajibkan bermula 1 Januari lalu bagi menyelamatkan bayi dan kanak-kanak daripada mengalami kecederaan serius atau kematian sekiranya berlaku kemalangan.

Bagaimanapun, tiada saman akan dikeluarkan kepada ibu bapa yang gagal menggunakan CRS dalam tempoh enam bulan pertama pelaksanaan yang bersifat mendidik terlebih dahulu.

Rata-rata respons ibu bapa terhadap pelaksanaan undang-undang ini ialah pengenalan kepada insentif tertentu bagi pembelian kerusi berkenaan selain mengawal harga supaya tidak membebankan pengguna khususnya mereka yang berpendapatan rendah.

Pihak kerajaan juga perlu memantau dengan lebih ketat agar pengeluar dan peniaga hanya menjual produk berkualiti kepada pengguna.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, pengeluar kenderaan pelbagai guna (MPV) mungkin juga boleh membuat tawaran harga menarik untuk menggalakkan ibu bapa yang mempunyai anak ramai memiliki kenderaan yang lebih selesa.

Jadi, sebagai ibu bapa, adakah kita hanya akan menunggu tarikh akhir pelaksanaan CRS ini atau mahu menunggu sesuatu berlaku baru ingin menyediakan kemudahan ini untuk anak kecil anda?