Hari Kekasih dan Covid-19: Mana lebih bahaya?

Gambar hiasan koronavirus -Foto 123rf
Gambar hiasan koronavirus -Foto 123rf
A
A
A

TANGGAL 14 Februari setiap tahun, jika ditanya apakah istimewanya hari ini, penulis hampir pasti majoriti anak muda sekarang akan menjawab 14 Februari adalah Hari Kekasih atau Valentine Day dalam bahasa Inggeris.

Ini tidak mengejutkan kerana budaya dari luar sudahpun bercampur dengan budaya tempatan malah anak-anak muda sekarang sudah tidak banyak budaya Melayu yang melekat terutamanya cara bergaul dan bercakap.

Mereka sudah tidak ada batasan, lelaki dan perempuan sudah bebas bergaul. Ibu bapa sekarang pun satu, terlalu mengikut kehendak anak-anak. Jika dihalang maka akan digelar jumud, ketinggalan dan tidak moden. Jadi, ibu bapa pun ikut sahaja kemahuan anak mereka.

Oleh itu, tidak hairanlah pada tarikh 14 Februari, ratusan malah ribuan pasangan akan dating kononnya bagi menghargai kekasih mereka sedangkan mereka tidak tahupun latar belakang sebenar di sebalik kisah hari Valentine ini.

Kalau mereka ini setakat berjumpa di tempat terbuka, makan-makan dan balik mungkin tidak mengapa, namun jika lebih daripada itu maka lain jadinya. Lagi sembilan bulan ramailah anak-anak gadis check in pula di hospital. Nauzubillah!

Tapi pada hari ini, isu koronavirus atau nama terbarunya Covid-19 yang melanda dunia mungkin membuatkan Hari Kekasih tidak disambut semeriah seperti tahun-tahun sebelumnya. Pihak berwajib terutamanya Kementerian Kesihatan (KKM) telah memberi nasihat kepada orang ramai untuk mengelak kawasan tumpuan pengunjung buat masa ini.

Jangan menarik nafas lega terlebih dahulu, jika tidak boleh bertemu di kawasan tumpuan pengunjung kerana menyahut saranan KKM, mereka boleh memilih di kawasan yang kurang tumpuan malah langsung tidak ada orang. Itu lebih berbahaya!

14 Februari dari sudut lainCovid-19 setakat hari ini sudahpun membunuh lebih 1,300 manusia. Jumlah ini terus meningkat setiap hari. Jangan pula ada pasangan kekasih jadikan ini alasan untuk menambah populasi manusia. Itu adalah niat yang salah dan menyimpang sama sekali.

Artikel Berkaitan:

Gambar hiasan Hari Kekasih -Foto 123rf
Gambar hiasan Hari Kekasih -Foto 123rf

Jadi sebagai anak muda, penulis sarankan usahlah disambut Hari Kekasih ini, cukuplah setakat bersyukur kerana hubungan masih kekal dan mohon sehingga ke akhir hayat. Itu lebih baik. Tidak perlu berhabis duit dengan memilih tempat makan premium, bunga 50 jenis dan menyewa kenderaan sport, akhirnya kahwin pun belum tentu. Kalau dah jadi isteri tidak mengapa, memang digalakkan bro!Bagi penulis, setiap kali tibanya 14 Februari, penulis akan teringat dengan kisah Allahyarham Leftenan Adnan Saidi.

Allahyarham terbunuh pada tarikh tersebut bagi mempertahankan tanah air daripada serangan tentera Empayar Jepun.

Pada tarikh itu juga, ratusan anak-anak muda Melayu turut terkorban di sebelah Allahyarham di Bukit Chandu, Singapura. Tidak boleh dibayangkan ketika anak-anak muda hari ini bergembira, pada tarikh yang sama 78 tahun lalu, anak-anak muda di Tanah Melayu sedang berhempas pulas mempertahankan tanah air.

Ya! Mereka ketika itu memang berada di bawah naungan tentera British, namun percayalah di lubuk hati mereka, mereka bukanlah bertempur demi British tetapi mereka bertempur bermati-matian demi agama, insan tersayang, keluarga dan tanah air.

Sudah pasti mereka juga sudah mendengar kekejaman yang dilakukan Jepun di Tanah Besar China. Di negara itu, tentera Jepun telah membunuh ratusan ribu nyawa. Sehebat manapun Jepun ditentang, ia tinggal sejarah, Tanah Melayu berjaya ditawan empayar matahari terbit itu dalam masa 53 hari sahaja.

Apapun tarikh 14 Februari adalah sama dengan hari-hari yang lain. Kita tidak perlu menunggu tarikh ini baru menunjukkan penghargaan kepada pasangan masing-masing! Ia boleh dibuat pada bila-bila masa di mana jua kita berada.

Sebelum terlupa, 14 Februari juga adalah hari YouTube dilancarkan pada tahun 2005 oleh tiga pelajar kolej. Google membeli YouTube daripada mereka pada harga AS$1.65 bilion pada 2006. Pada hari ini, YouTube merupakan laman penstriman video terbesar di dunia.