Perhalusi cadangan pemansuhan hutan simpan kekal, Kuala Langat Utara

Tular di Facebook berhubung cadangan pemansuhan hutan simpan kekal, Kuala Langat Utara.
Tular di Facebook berhubung cadangan pemansuhan hutan simpan kekal, Kuala Langat Utara.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor diminta memperhalusi cadangan pemansuhan hutan simpan kekal, Kuala Langat Utara berikutan terdapat perkampungan orang asli di kawasan terbabit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Waytha Moorthy berkata, kementeriannya sentiasa berhubung dengan kerajaan negeri bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung perkara berkenaan.

Katanya, satu mesyuarat pengurusan pusat bersama pengurusan tertinggi Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dijadualkan diadakan pada 17 Februari ini.

Menurutnya, isu pertindihan tanah itu menjadi tumpuan utama Jakoa bagi mencari jalan penyelesaian berhubung kemelut tersebut.

"Jakoa sudah membuat permohonan untuk mewartakan kawasan tersebut sejak 20 September 2017 lagi namun atas permasalahan teknikal yang perlu diperhalusi, kita masih menunggu keputusan dari kerajaan negeri," katanya.

Beliau menegaskan, kawasan cadangan pemansuhan terbabit dikenal pasti sebagai kawasan rayau bagi empat perkampungan orang asli (KOA).

"Empat KOA itu ialah Bukit Kecil, Bukit Cheeding, Busut Baru dan Pulau Kempas dengan jumlah seramai 1,049 penduduk," katanya.

Sebelum ini tular di media sosial berhubung dakwaan cadangan pemansuhan hutan simpan terbabit bagi tujuan pembangunan yang diiklankan pada 5 Februari lalu.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan terdapat perkampungan orang asli di kawasan tersebut.