X

Kindly register in order to view this article
!

Wabak Ebola: WHO lanjut tempoh darurat kesihatan global

Penularan wabak Ebola di Afrika Barat pada 2014-2016 adalah yang terbesar sejak virus itu pertama kali ditemui pada 1976. - FOTO: AGENSI
A
A

GENEVA - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam memaklumkan ia melanjutkan tempoh darurat kesihatan global yang diisytiharkan untuk wabak Ebola di Republik Demokratik Congo (DRC) walaupun penurunan kes adalah sangat positif.

Wabak itu pertama kali dikenal pasti pada Ogos 2018 dan telah menyebabkan lebih 2,300 terbunuh di timur negara tersebut yang dikuasai beberapa kumpulan militia.

"Potensi kekal untuk wabak lebih besar selagi terdapat satu kes jangkitan Ebola di kawasan tidak selamat dan tidak stabil di timur DRC," kata Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus di Geneva.

Agensi PBB itu bagaimanapun menurunkan skala risiko wabak itu kepada 'tinggi' daripada 'sangat tinggi' manakala 'rendah' pada tahap global.

Ghebreyesus juga berharap darurat kecemasan global itu boleh ditarik balik dalam tempoh tiga bulan akan datang berdasarkan saranan dibuat pakar antarabangsa Jawatankuasa Kecemasan WHO.

Julai lalu, WHO mengisytiharkan darurat kesihatan global beberapa hari selepas seorang pesakit di Goma didiagnos dengan virus tersebut.

Lebih sebulan selepas itu, agensi terbabit melaporkan virus terbabit telah merebak ke Uganda buat pertama kali.

Virus Ebola disebarkan kontak melalui darah, cecair tubuh, rembesan atau organ yang dijangkiti atau individu baru meninggal dunia.

Difahamkan, epidemik tersebut akan disahkan berakhir hanya jika tiada kes baharu dilaporkan dalam tempoh 42 hari bersamaan dua kali ganda tempoh inkubasi. - Agensi