Wabak demam Lassa ancam Nigeria

Demam Lassa didakwa boleh disebarkan melalui makanan dan peralatan dalam rumah yang dicemari air kencing dan najis tikus. - Foto: Agensi
Demam Lassa didakwa boleh disebarkan melalui makanan dan peralatan dalam rumah yang dicemari air kencing dan najis tikus. - Foto: Agensi
A
A
A

ABUJA - Jumlah kematian wabak demam Lassa telah meningkat kepada 70 orang selepas peningkatan jumlah kes yang disahkan di Nigeria.

Pusat Kebangsaan untuk Kawalan Penyakit (NCDC) hari ini memaklumkan lapan kematian baharu demam Lassa dilaporkan di tiga negeri.

"Empat kakitangan pusat jagaan kesihatan di Ondo, Delta dan Kaduna disahkan positif," ujar NCDC dalam satu kenyataan.

Menurutnya, jumlah kes yang disyaki meningkat secara mendadak berbanding pertengahan bulan lalu menyaksikan kes meningkat daripada kira-kira 700 kepada 1,708.

"Kes yang disahkan juga meningkat kepada 472," katanya.

Demam Lassa disebarkan antara manusia melalui makanan atau peralatan dalam rumah yang dicemari dengan air kencing atau najis tikus.

Difahamkan, 80 peratus kes wabak demam itu adalah asimptomatik atau tidak menunjukkan sebarang simptom termasuk demam panas, sakit kepala, ulser dalam mulut, sakit otot, pendarahan di bawah kulit, kegagalan jantung dan buah pinggang.

Ia juga mempunyai tempoh inkubasi antara enam dan 21 hari serta boleh disebarkan melalui kontak dengan individu yang dijangkiti melalui cecair tubuh dan kumuhan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan ubat antiviral, ribavirin dilihat sebagai rawatan berkesan untuk merawat demam Lassa jika diberi pada peringkat awal.

Nigeria yang merupakan negara paling ramai penduduk di Afrika dengan populasi kira-kira 200 juta orang mempunyai lima makmal yang berupaya untuk mendiagnos penyakit tersebut. - Agensi