X

Kindly register in order to view this article
!

Prestasi ekonomi negara lebih baik berbanding serantau: Azmin

Mohamed Azmin
A
A

SHAH ALAM – Prestasi ekonomi Malaysia yang dicatatkan pada tahun 2019 adalah lebih baik berbanding beberapa negara serantau yang mencatat perkembangan lebih rendah.

Menteri Hal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, prestasi ekonomi yang menyederhana ini berikutan prestasi ekonomi dunia yang mencatat pertumbuhan lebih perlahan sejajar dengan kelemahan dalam aktiviti perdagangan global.

Katanya, kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa bagi memastikan pertumbuhan ekonomi kekal kukuh di samping menjamin keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

“Pakej rangsangan ekonomi juga sedang diperincikan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan pada masa yang sama memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan juga akan memastikan projek pembangunan yang telah diluluskan bagi tahun 2020 serta inisiatif baharu di bawah pakej rangsangan ekonomi yang akan diperkenalkan pada penghujung Februari 2020 dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Azmin berkata, langkah kerajaan untuk mengurangkan kadar tol dan memastikan harga petrol yang stabil akan membantu meringankan beban sara hidup rakyat di samping memperkukuhkan pelancongan domestik.

“Tambahan pula Bank Negara Malaysia telah mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.75 peratus pada 22 Januari 2020 yang turut akan menyokong pertumbuhan ekonomi dalam negeri agar terus berkembang.

“Menyedari kepentingan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat, langkah yang diambil oleh kerajaan sebelum ini bagi mengurangkan harga petrol dan pengenalan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) telah mengurangkan kadar inflasi kepada 0.7 peratus (2018: 1.0 peratus) dan seterusnya mendorong kepada peningkatan kuasa beli rakyat.

“Ini membolehkan rakyat meningkatkan perbelanjaan untuk keperluan hidup juga dapat dilihat melalui perbelanjaan dan penggunaan swasta yang tinggi,” katanya.

Ujar beliau lagi, prospek pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2020 dijangka terkesan ekoran wabak koronavirus (Covid-19) menyebabkan berlakunya gangguan bekalan global.

“Kerajaan sedang mengambil langkah proaktif yang boleh mempergiatkan lagi aktiviti ekonomi dalam negeri di samping terus menggalakkan eksport terutamanya produk berkaitan penjagaan kesihatan, elektrik dan elektronik dan keluaran berasaskan kelapa sawit,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus