Pokok heliconia kepuasan Sukri

Sukri kagum dengan keunikan bunga heliconia poganatha mariae yang ditanam di halaman rumahnya.
A
A

PASIR PUTEH - Memiliki 30 daripada 200 spesies pokok sepit udang atau heliconia sudah cukup memberi kepuasan kepada penduduk Kampung Gong Datok ini.

Pokok bunga eksotik itu ditanam di halaman rumahnya dengan memberi penjagaan rapi bagi mengelak ia menjadi semak.

Sukri Yusoh, 46, berkata, 30 spesies memadai kerana dia hanya memilih bunga yang menarik.

"Lagipun halaman rumah saya ini tidak seluas mana, 30 pokok dah cukup sesuai melainkan saya menemui spesies yang lebih baik dari yang ada sekarang.

"Kena jaga dengan baik kerana pokok ini berkembang dengan cepat menjadi semak jika tidak dikawal," katanya.

Menurutnya, dia mula menanam heliconia sejak 2014 dengan membeli pokok dari rakan dan membelinya secara atas talian.

Heliconia lobster claw antara spesies yang disayangi Sukri.
Heliconia lobster claw antara spesies yang disayangi Sukri.

Katanya, heliconia poganathaa mariae, heliconia rostrata, heliconia wagneria rainbow dan heliconia lobster claw antara yang paling disayanginya.

"Tumbuhan ini berasal dari Afrika dan pulau-pulau di Lautan Pasifik, bunganya mempunyai pelindung berwarna terang serta berlilin.

"Heliconia sumber makanan penting kepada spesies burung kelicap dan ia merupakan pokok sesuai untuk burung bersarang," katanya.

Sukri berkata, masa lapangnya kini banyak dihabiskan di halaman rumah kerana ia cukup memberikan kepuasan kepadanya.

Katanya, dia tidak pernah jemu pernah melihat bunga heliconia kerana bunga itu cukup istimewa dan unik kepadanya.

"Selain bunga hiasan landskap, heliconia juga digunakan sebagai bunga keratan untuk gubahan dan pelamin kerana nilai komersilnya sangat tinggi," katanya.