Balu mangsa langgar lari terima faedah Perkeso

Adun Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah (dua kiri) dan Exco Kerajaan Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman (kiri) ketika mengunjungi waris mangsa di Kampung Pulau Rusa hari ini.
Adun Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah (dua kiri) dan Exco Kerajaan Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman (kiri) ketika mengunjungi waris mangsa di Kampung Pulau Rusa hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Balu mangsa langgar lari yang meninggal dunia dalam kemalangan di Lebuhraya Baru Pantai (NPE) pada Isnin lalu terharu menerima faedah pencen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Fadhlina Abd Rahman, 39, isteri kepada polis bantuan yang berkhidmat di Bank Negara, Mohd Nazri Ya'acob, 43, tidak dapat menahan sebak ketika menerima kunjungan Perkeso di kediaman keluarganya di Kampung Pulau Rusa, di sini.

Ibu kepada dua cahaya mata iaitu Muhammad Zulkarnain, 7, dan anak autisme Nurul Nabila, 14 bersyukur dan tidak menyangka menerima pencen itu.

"Alhamdulillah bantuan ini dapat menampung perbelanjaan kami sekeluarga," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perkeso, Farihah Che Husin berkata, Fadhlina dan Nurul Nabila layak menerima faedah pencen penakat di bawah Skim Bencana Pekerjaan sepanjang hayat kerana suaminya adalah pencarum aktif.

"Muhammad Zulkarnain pula menerima faedah itu sehingga usia 21 tahun atau setelah menamatkan ijazah pertama.

"Kesemua mereka layak menerima faedah bernilai RM3,500 setiap bulan bermula Mac depan," katanya ketika ditemui di kediaman keluarga waris mangsa di sini, hari inj.

Artikel Berkaitan:

Fadhlina bersama dua anaknya, Nurul Nabila dan Muhammad Zulkarnain ketika ditemui di Kampung Pulau Rusa hari ini.
Fadhlina bersama dua anaknya, Nurul Nabila dan Muhammad Zulkarnain ketika ditemui di Kampung Pulau Rusa hari ini.

Farihah berkata, selain bayaran faedah pencen penakat, pihaknya turut membayar faedah pengurusan mayat kepada Fadhlina sebanyak RM2,000.

Farihah memberitahu maklumat mengenai waris mangsa diperoleh melalui aplikasi WhatsApp semalam sebelum semua dokumen diproses segera.

"Walaupun kejadian berlaku di Kuala Lumpur, secara kebetulan arwah adalah berasal dari Terengganu dan warisnya dibawa pulang ke sini.

Dalam kejadian Isnin lalu, Mohd Nazri yang menunggang motosikal meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika menuju ke tempat kerja selepas keluar dari kediamannya di Kuarters Bank Negara, Subang Jaya pada jam 6.30 pagi.

Pasangan suami isteri itu sebelum ini pernah diuji dengan kehilangan cahaya mata sulung mereka, Muhammad Aizzat yang meninggal dunia ketika berusia tiga tahun akibat kanser tulang pada 2007.